
KUALA LUMPUR - Komitmen Malaysia terhadap kerjasama ASEAN tidak akan pernah berubah.
Memberi jaminan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN merupakan sebuah rantau yang kuat dan bersatu.
Menurut beliau, semangat kolektif serantau adalah sumber kekuatan utama ASEAN yang perlu dimanfaatkan secara agresif.
“Ekonomi rantau ASEAN kekal stabil meski dibadai ketidaktentuan global.
“Dasar perlindungan (protectionism) perdagangan Amerika Syarikat mutakhir ini merupakan cabaran yang dihalakan ke arah kita. Namun, ASEAN tidak gentar dan tidak akan berpecah-belah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tegas Anwar, Malaysia lebih memilih untuk mengadakan jalan rundingan yang adil, damai dan saksama berbanding permusuhan.
Malaysia katanya, tidak akan tergesa-gesa mengenakan tindakan balas yang boleh merugikan semua pihak dan menempiaskan dampak yang lebih parah.
“Sebaliknya, pendirian ASEAN jelas yakni berpegang teguh pada prinsip perdagangan bebas yang adil dan mengutamakan budaya dialog dan wacana yang segar dan sihat dalam menyelesaikan sebarang pertikaian,” katanyq.
Perdana Menteri menarik perhatian, beliau selaku Pengerusi ASEAN telah berunding dengan pemimpin serantau lain untuk memastikan tindak balas terhadap tantangan tersebut kekal padu dan sederap.
“Keadaan kini jauh berbeza ketimbang era kemelut ekonomi Asia 97-98. Pada ketika itu, ekonomi serantau rapuh dan mudah terjejas. Kini, asas ekonomi ASEAN jauh lebih kukuh dengan kerjasama serantau yang lebih erat,” katanya.
Anwar memberitahu, pengalaman pahit tersebut telah mengajar semua pihak untuk lebih bersedia dan berhati-hati.
“Kita telah membina ketahanan ekonomi yang tinggi melalui dasar fiskal dan kewangan yang berhemah. ASEAN kini lebih bersedia mendepani apa jua cabaran global yang mendatang,” katanya.
“Kepada para pelabur di seluruh dunia, saya memberi jaminan bahawa ASEAN kekal terbuka dan mesra pelabur,” katanya. - Getaran, 8 April 2025

