
KUALA LUMPUR - Malaysia telah menghantar wakil ke Amerika Syarikat (AS) bagi mencari penyelesaian berhubung isu tarif balas yang dikuatkuasakan Presiden Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, delegasi berkenaan diketuai Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut beliau, Tengku Zafrul telah diberi mandat untuk mencari penyelesaian yang boleh membawa manfaat kepada kedua-dua negara.
“Pada masa sama, Malaysia mengambil kesempatan untuk memohon AS memberikan ruang kepada semua negara ASEAN mengusahakan penyelesaian melalui mekanisme hubungan dua hala masing-masing.
“Malaysia turut menyuarakan pendirian kohesif ASEAN dalam isu tarif balas ini, dan menggesa AS melihat ASEAN sebagai satu ketumbukan dalam pertimbangannya berhubung isu tarif dan dasar-dasar perdagangan yang lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook lewat malam tadi.
Jelas Anwar, perkara tersebut disuarakan menerusi panggilan telefon yang dibuat secara berasingan kepada rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dan Lawrence Ong dari Singapura.
“Berpaksikan semangat persahabatan dan prinsip kepusatan ASEAN, saya percaya usaha bersama ini akan melimpahkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan buat rakyat di seluruh rantau ini, Insya-Allah,” katanya.
Menerusi hantaran sama Perdana Menteri memberitahu, Kemboja dan Singapura menyambut baik pertemuan bersama Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Ketua Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, Mahn Win Khaing Than di Bangkok baru-baru ini.
Katanya, kedua-dua Perdana Menteri menyifatkan pertemuan tersebut sebagai kemajuan penting ke arah usaha damai yang berkekalan di Myanmar.
“Mereka turut menyokong usaha Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, untuk meneruskan dialog dengan semua pihak berkepentingan demi menjamin keselamatan petugas kemanusiaan dan membawa keamanan kepada rakyat Myanmar,” katanya. - Getaran, 30 April 2025



