Tarif Elektrik Di Semenanjung Kekal, Kerajaan Sedia Subsidi RM5.96 Bilion

LocalPolitics
20 Dec 2024 • 7:41 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kerajaan bersetuju kadar rebat dan surcaj terhadap tarif elektrik berdasarkan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang dikenakan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung dikekalkan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2025.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, dengan keputusan yang diambil pada 13 Disember lalu itu, jumlah subsidi elektrik yang akan dibiayai oleh kerajaan tempoh Januari hingga Jun 2025 sebanyak RM2.388 bilion.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkata, pelaksanaan ini menunjukkan bahawa kerajaan komited untuk menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.

image is not available

Ini membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara.

Selain itu, kerajaan juga turut bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah kerangka Pengawalselian Berasaskan Insentif (IBR) untuk tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula pada 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

“Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu yang mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar dan lebih kompetitif di samping mengekalkan keseimbangan trilema tenaga (security, sustainability and affordability).
“Jadual tarif baharu ini dicadang untuk dilaksanakan bermula pada 1 Jul 2025 dengan melibatkan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM3.57 bilion yang akan dibiayai kerajaan,” katanya.

Petra berkata kerajaan juga memperuntukan RM55 juta untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40, khusus bagi miskin tegar disahkan dalam sistem e-kasih.

Jelasnya, semakan boleh dibuat menerusi https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti berhampiran.

“Pengguna juga boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing,”katanya lagi.

image is not available

Kerajaan juga berharap agar pengekalan tarif elektrik bagi tempoh tersebut akan menjamin pemain-pemain industri memastikan kestabilan harga barangan di pasaran dan menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara