
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan dijangka akan membuat beberapa keputusan pada Isnin depan depan berkaitan tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara ini.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu dibuat selepas mesyuarat bersama ketua- ketua negara ASEAN dan Mesyuarat National Geoeconomic Command Centre (NGCC) yang berlangsung pada hari sama.
Menurutnya, Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan ASEAN akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Rahman esok (Khamis).
"Maka pada hari Isnin kita akan buat beberapa keputusan sebelum meminta rombongan ke Washington DC bagi tujuan diplomasi dan juga perbincangan perdagangan dengan AS," katanya menerusi sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.
Beliau berkata, setakat ini tiada tarikh (rombongan delegasi) ditetapkan namun ia tertakluk kepada keputusan dan kelulusan Jemaah Menteri hasil mesyuarat Khamis.
"Tarikh tepat belum boleh saya sebut di sini," jelas Fahmi.
Ujarnya, mesyuarat pada Isnin depan merupakan sebahagian daripada langkah proaktif kerajaan yang juga Pengerusi ASEAN.
"Semua isu dan pandangan yang dihadapi oleh negara ASEAN dan kita berhasrat untuk mengadakan perbincangan sebaik mungkin," katanya.
Sebelum ini, Trump mengumumkan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Presiden AS itu turut mengumumkan tarif timbal balik yang tinggi terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah (20 peratus), Vietnam (46 peratus), Sri Lanka (44 peratus), Kemboja (49 peratus), Laos (48 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Berdasarkan data yang dikumpul Reuters, Malaysia disenaraikan sebagai negara dengan defisit dagangan bernilai AS$25 bilion manakala China sebanyak AS$295 bilion.
Defisit dagangan bermakna Malaysia mengeksport lebih tinggi berbanding import barangan dari AS.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS mencecah RM324.9 bilion pada tahun 2024.
AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, selepas China dan Singapura yang menyumbang 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan negara.
Tengku Zafrul akan mengetuai delegasi Malaysia ke Washington hujung bulan ini untuk membincangkan tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS ke atas Malaysia.


