
PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia menyeru peguam negara untuk segera menarik balik pertuduhan terhadap bekas ketua pengarang The Edge, Azam Aris, yang telah dituduh dengan jenayah fitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, berhubung dua artikel yang disiarkan semasa beliau berkhidmat di syarikat media tersebut.
Menurut ketua penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid, insiden tersebut telah melemahkan semangat kebebasan media dan menyebabkan ramai pengamal media tidak berpuas hati.
“Tindakan ini dilihat sebagai satu cubaan untuk menggugat dan menyekat media daripada menjalankan tugas mereka tanpa perasaan takut atau pilih kasih. Mana-mana pihak yang rasa mereka terjejas akibat laporan media boleh menggunakan tindakan sivil dan tidak perlu untuk campur tangan pihak lain.
“Media mesti dibenarkan melakukan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021 yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Reporters Without Borders (RSF) menunjukkan negara kita telah turun kepada tangga ke-119 daripada 101 pada 2020.
“Sudah tiba masanya untuk kita memastikan kebebasan akhbar dengan laporan yang bebas dan adil tanpa sebarang gangguan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zakaria juga berpendapat bahawa kebebasan media bermakna media dan rakyat individu mempunyai hak untuk menyampaikan maklumat tanpa pengaruh atau perasaan takut bahawa akan ada pembalasan samada daripada kerajaan, entiti atau individu lain yang berkuasa.

