Tarik Diri Tak Dibenarkan, Hisyam Perlu Kendalikan Rayuan Akhir Najib

Politics
18 Aug 2022 • 12:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Najib Razak (tengah) hadir di Mahkamah Persekutuan, hari ini - Gambar oleh Azim Abd Rahman

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak membenarkan peguam baharu Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Hisyam gagal mengemukakan alasan munasabah untuk menarik dirinya daripada kes itu.

"Mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk menolak permohonan tersebut," katanya.

Perbicaraan rayuan terakhir kini bersambung semula.

image is not available
Hisyam Teh Poh Teik - Gambar oleh Azim Abd Rahman

Terdahulu hari ini, Tengku Maimun mengarahkan perbicaraan dihentikan seketika bagi memutuskan permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili mantan perdana menteri itu atas alasan pihaknya memerlukan lebih masa bagi membuat persediaan

Bagaimanapun, Tengku Maimun tidak membenarkan penangguhan itu dan merujuk Hisyam kepada penghakiman mahkamah tertinggi berhubung perkara itu Selasa lepas, di mana beliau berkata, peguam Najib mengetahui tarikh perbicaraan sebelum mengambil kes itu. 

Kelmarin, Hisyam telah merayu kepada mahkamah untuk menangguhkan pendengaran rayuan selama "tiga hingga empat" bulan tetapi permohonan ini juga ditolak sebulat suara. 

Sebelum permulaan perbicaraan rayuan terakhir, Najib telah menukar peguam, menggantikan Tan Sri Mohd Shafee Abdullah dengan Hisyam sebagai peguam utamanya, manakala Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners' (ZIST) rakan kongsi Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam sebagai peguam cara baharunya untuk rayuan itu, berkuat kuasa 25 Julai.

Hari ini, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Tengku Maimun dan hakim lain iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. – The Vibes, 18 Ogos 2022