
KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan menarik semula keputusan mengapungkan harga ayam di pasaran disifatkan sebagai tindakan yang rasional dan realistik.
Ahli Parlimen Pantai Dalam, Fahmi Fadzil berkata, penghapusan serentak mekanisma kawalan seperti subsidi terhadap harga barangan akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi rakyat secara keseluruhan.
Menurutnya, kesan tersebut bukan saja dirasai oleh golongan B40 malah turut membabitkan sebahagian besar kumpulan M40.

“Saya rasa keputusan itu adalah satu langkah yang rasional dan realistik kerana apabila terlalu banyak subsidi atau mekanisma kawalan dilupuskan secara serentak, kesan terhadap rakyat akan bertimbun-timbun.
“Golongan B40 pastinya akan paling terjejas namun saya jangka golongan M40 bawahan turut akan dipukul hebat daripada inflasi dan peningkatan harga barang serta ayam,” katanya ketika ditemui selepas Program Penyerahan Makanan Anjuran Cargill Malaysia dengan badan bukan kerajaan (NGO) Rise Against Hunger, di sini, hari ini.
Justeru, Fahmi berkata, Pakatan Harapan (PH) meminta penjelasan daripada Jemaah Menteri, apakah langkah untuk merasionalisasikan subsidi dan apa perancangan kerajaan sehingga hujung tahun berhubung isu tersebut.

Menurut beliau lagi, perlu ada ikhtiar tambahan daripada Ahli Parlimen untuk membantu rakyat bagi mengurangkan bebanan mereka selain penjelasan lanjut dan dasar baharu daripada kerajaan.
“Kesannya amat memilukan, bayangkan ada warga Lembah Pantai yang mengadu sebanyak RM60 daripada RM100 dibelanjakan hanya untuk membeli minyak dan ayam. Itu belum lagi 1 Julai,” katanya.
Menurut Pengarah Komunikasi PKR itu, sebagai ikhtiar tambahan daripada pihaknya, beliau akan mengadakan satu program jualan bahan makanan bersubsidi pada 2 dan 3 Julai untuk 800 penduduk di seluruh Lembah Pantai.

Katanya, program tersebut adalah antara respon terhadap peningkatan harga barang dan pelupusan subsidi yang diumumkan kerajaan bermula 1 Julai depan.
“Kami akan bekerjasama dengan pihak Mydin, penduduk hanya perlu membayar RM50 untuk barangan berharga RM100 dan lokasinya akan diumumkan kemudian.
“Program dibahagikan kepada dua lokasi iaitu satu untuk Kampung Kerinchi dan lagi satu Taman Seri Sentosa,” katanya. - Getaran, 25 Jun 2022


