Tarikh pembukaan semula Menara KL ditetapkan selepas kerja naik taraf utama, kata CEO LSH Service Master

24/04/2025 - 15:08
KUALA LUMPUR 24 April - Operator baharu Menara Kuala Lumpur, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi bagi menentukan tarikh sesuai untuk pembukaan semula mercu tanda ikonik negara itu, selepas kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan menyeluruh dijalankan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Faizal Othman berkata, menara itu hanya akan dibuka semula kepada orang ramai selepas semua aspek keselamatan dan operasi dipulihkan sepenuhnya.
“Kami sedang mempercepatkan kerja-kerja di tapak dan mengekalkan komunikasi rapat dengan Kementerian Komunikasi bagi mengenal pasti masa yang tepat untuk pembukaan semula menara telekomunikasi ini.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan pembukaan semula yang lancar sambil menyediakan pengalaman bertaraf dunia kepada para pengunjung. Kami yakin perkara ini dapat dicapai sebaik operasi penuh disambung semula,” katanya kepada Bernama.
Khairil Faizal berkata, penutupan sementara Menara KL telah memberi kesan ketara terhadap sektor pelancongan, memandangkan struktur ikonik itu yang kebiasaannya menerima antara 1,000 hingga 1,500 pelawat setiap hari, kebanyakannya pelancong asing, telah menghentikan operasinya.
Mengulas lanjut, Khairil Faizal berkata berdasarkan penemuan awal daripada Penilaian Keadaan Fasiliti (FCA) yang telah siap pada Isnin, LSHSM kini memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan berskala penuh, bukan sahaja menaik taraf kemudahan sedia ada, malah memulihkan sepenuhnya fungsi dan tahap keselamatan menara setinggi 421 meter itu.
Kerja-kerja yang sedang dijalankan termasuk pembersihan tapak dan pelupusan sisa, mengecat semula pejabat dan dinding di sekitar teres menara, pemasangan semula tiang bendera, sistem CCTV dan komunikasi, penggantian rumput tiruan, naik taraf sistem saliran dan elektrik, pembersihan kubah kaca di lobi utama, serta pemasangan peralatan dan perabot baharu di restoran berputar dan pejabat.
“FCA merupakan langkah penting dalam merancang penambahbaikan masa depan dan mengenal pasti kawasan yang memerlukan pembaikan dan pengubahsuaian, sambil memastikan Menara KL memenuhi piawaian antarabangsa dan melebihi jangkaan pelawat,” katanya.
Pada 16 April lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan penutupan sementara Menara KL bermula 17 April bagi membolehkan operator baharu, LSHSM, menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.
LSHSM telah dianugerahkan konsesi selama 20 tahun bermula 1 April lalu bagi menguruskan menara telekomunikasi itu, susulan tamatnya konsesi Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd pada 31 Mac 2025.
Kerajaan menegaskan, Menara KL masih kekal milik kerajaan, dengan pemindahan konsesi hanya melibatkan perubahan dalam pengurusan dan operasi, yang dilaksanakan melalui proses permintaan untuk cadangan (RFP).- DagangNews.com
standard


