Tarikh pendaftaran Datasonic H20 Run dilanjutkan hingga 18 Januari 2024
zulfadli
17/01/2024 - 12:59
KUALA LUMPUR 17 Jan - Tarikh pendaftaran acara larian Datasonic H20 Run yang berlangsung di Padang Merbok pada 27 Januari 2024, dilanjutkan dari 12 Januari sehingga 18 Januari ini.
Datasonic Group Berhad berkata, lanjutan itu dibuat berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang mahu tarikh tutup pendaftaran Datasonic H20 Run itu dilanjutkan.
"Orang ramai yang berminat boleh segera mendaftar menerusi https://v2.checkpointspot.asia/event/Datasonic-H20-Run selain merebut peluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa sebuah motosikal Modenas Karisma 125 dan hadiah sampingan seperti barangan elektrik, telefon pintar, basikal dan sebagainya," kata jurucakap acara tersebut ketika dihubungi DagangNews di sini hari ini.
Para peserta yang berjaya membuat pendaftaran dikehendaki mengambil kit larian di Decathlon KL City Centre (Four Seasons Place) pada 19 hingga 20 Januari ini.

"Sesi pengambilan kit larian bermula pukul 12 tengah hari hingga 8 malam pada 19 Januari, manakala 20 Januari bermula 11 pagi hingga 6 petang," katanya.
Penyedia rumusan ICT bersepadu berkaitan keselamatan paling terkemuka di Malaysia itu berkata, pihaknya menyasarkan untuk menarik sejumlah 1,200 penyertaan.

"Ia melibatkan larian sejauh 5 kilometer bermula dari Padang Merbok dan berakhir di padang tersebut. Acara tersebut akan berlangsung selama 2 jam, yang mana sesi pelepasan peserta pada pukul 7.30 pagi," katanya.
Selain itu, Datasonic H20 Run turut menyediakan acara sampingan menarik seperti zumba, petting zoo, selain pemberian aiskrim dan gula-gula kapas percuma dan jualan trak makanan kepada para peserta.


Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dijadualkan merasmikan Datasonic H20 Run pada hari tersebut. - DagangNews.com




