
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Filem aksi tempatan TARUNG: Unforgiven terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan terkini sebanyak RM20.3 juta selepas 19 hari tayangan di pawagam seluruh negara.
Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem tempatan paling berjaya dan hangat diperkatakan sejak ditayangkan mulai 7 Mei tahun ini.
Pengarah dan Penulis Skrip merangkap Penerbit Eksekutif TARUNG : Unforgiven, Razaisyam Rashid berkata, “Apa yang paling menyentuh hati saya bukan hanya angka kutipan, tetapi peluang untuk melihat sendiri bagaimana TARUNG: Unforgiven diterima oleh penonton.
“Sepanjang siri jelajah filem, saya dan Aedy berpeluang berjumpa sendiri dengan ramai peminat, berbual secara berdepan dan mendengar sendiri pandangan serta pengalaman mereka selepas menonton filem ini. Saya berharap kejayaan ini dapat membuka lebih banyak ruang untuk filem aksi tempatan terus berkembang.”
TARUNG: Unforgiven terus tarik kehadiran penonton
Sejak mula ditayangkan, TARUNG: Unforgiven dilihat konsisten menarik kehadiran penonton dan menjadi topik perbualan hangat di media sosial.
Antara faktor yang turut menyumbang kepada momentum ini adalah pendekatan barisan pelakon Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Azira Shafinaz, Amir Ahnaf, Bront Palarae, dan ramai lagi yang aktif turun padang melalui siri jelajah serta berinteraksi lebih dekat dengan peminat.
Hujung minggu lalu telah berlangsungnya sesi jelajah di negeri Perlis, Kedah, Penang dan Perak yang berlangsung penuh gamat.
Fenomena ini benar-benar mengagumkan apabila ribuan penonton dan peminat hadir memberikan sambutan luar biasa kepada barisan pelakon serta penggiat filem, sekali gus menjadikannya satu gerakan bersama yang hidup antara filem dan penonton.
Malah, di media sosial seperti Threads dan TikTok, barisan pelakon juga dilihat mesra berkomunikasi bersama penonton dengan membalas komen, berkongsi reaksi serta menghargai setiap sokongan yang diberikan. Pendekatan ini secara tidak langsung mewujudkan pengalaman yang lebih peribadi buat penonton, sekali gus memperkukuhkan lagi hubungan emosi mereka kepada filem ini.
View this post on Instagram
Pelakon, Penerbit dan Penerbit Eksekutif TARUNG: Unforgiven, Aedy Ashraf berkata, “Sepanjang perjalanan TARUNG: Unforgiven, antara perkara yang paling saya ingat ialah peluang untuk melayan dan berjumpa sendiri dengan peminat.
“Dari siri jelajah yang dipenuhi penonton, suasana sorakan dan sokongan yang luar biasa, sampailah ke platform Threads dan media sosial di mana ramai masih berkongsi komen serta pendapat mereka, dan semua itu memang sangat bermakna buat kami. Melihat reaksi penonton secara berdepan memberi satu perasaan yang berbeza kerana kami dapat rasa sendiri semangat dan sokongan mereka.
“Terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dan kepada yang belum menonton, sekarang masanya untuk alami sendiri TARUNG: Unforgiven di pawagam.”
BACA REVIEW KAMI:
[Review] ‘Tarung: Unforgiven’ Gegar Pawagam 7 Mei Ini, Angkat Naratif Kehidupan Adalah ‘Gelanggang’ Sebenar
