
Tasik Kering, Perkuburan Lama Berusia Lebih 100 Tahun Muncul Kembali
Tanah perkuburan lama berusia lebih 100 tahun di Tasik Pedu muncul kembali selepas tasik buatan manusia itu mengering akibat airnya surut.
Tasik Pedu, yang terletak berhampiran banjaran Kedah-Singgora yang memisahkan Malaysia dan Thailand.
Di sebalik tasik yang luas ini, tersembunyi sebuah kawasan yang disebut sebagai Kampung Mong Gajah.
Kampung ini suatu masa dahulu merupakan perkampungan Melayu, telah ditenggelamkan lebih kurang 50 tahun lalu apabila Tasik Pedu terbentuk.
Setiap kali musim kemarau tiba, perkuburan lama Kampung Mong Gajah ini akan kembali muncul.
Kali terakhir tanah perkuburan lama itu kelihatan dan boleh diziarahi adalah pada tahun 2020, dan sebelum itu pada tahun 2016.
Difahamkan, bagi memelihara kawasan perkuburan tersebut, Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) telah membina pagar besi mengelilingi kawasan perkuburan seluas 0.3 hektar itu pada tahun 2006.
BACA: Kenali Abdul Qayyum Halid, Sosok Sebalik ‘Che Sayang Kitchen’ Pemenang Creator Of The Year 2024
Baru-baru ini, tinjauan yang dilakukan pada 11 Ogos 2024 mendapati bahawa kawasan tanah perkuburan tersebut sekali lagi terlihat dengan jelas.
Batu nisan di perkuburan itu masih utuh berdiri, meskipun telah lama berada di dasar tasik.
Paras air Empangan Pedu yang kini menyusut sehingga tinggal hanya 35 peratus daripada isi padu awalnya, mendedahkan semula kawasan perkampungan yang pernah didiami sebelum tahun 1970-an.
Bagi mereka yang berminat untuk melihat atau menziarahi perkuburan lama ini, sekarang adalah waktu yang sesuai sebelum musim tengkujuh tiba di hujung tahun.
Untuk info, kubur lama di dasar empangan bukanlah sesuatu yang baru kerana banyak empangan yang dibina di atas perkampungan lama.
Sumber: Budak Letrik via Facebook
The post Tasik Kering, Perkuburan Lama Berusia Lebih 100 Tahun Muncul Kembali appeared first on Siakap Keli.


