
KOTA TINGGI – Niat seorang tauke kedai makan mahu meraih keuntungan berlipat ganda bertukar duka selepas wang miliknya sebanyak RM100,000 lebur akibat terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada semalam daripada mangsa yang berusia 58 tahun.
Menurutnya, kejadian bermula pada 1 Julai lalu selepas mangsa tertarik dengan satu iklan skim pelaburan berkenaan melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang wanita Indonesia.
”Modus operandi sindiket ini menawarkan pakej pelaburan serendah RM350 dengan janji manis pulangan lumayan berjumlah RM50,000 dalam tempoh 24 jam.
”Mangsa kemudiannya membuat penambahan pembayaran secara berperingkat menerusi dua transaksi ke akaun bank berbeza sehingga mencecah RM100,000 bagi mendapatkan pulangan keuntungan pelaburan yang telah disekat di dalam sebuah aplikasi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal memperoleh sebarang hasil pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan.
”Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa dalam masa singkat, “katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tauke kedai makan gigit jari, wang RM100,000 lebur appeared first on Kosmo Digital.





