
MELAKA – Tiga lelaki warga China diberkas di Melaka Raya di sini, semalam selepas dipercayai bersekongkol dengan sindiket pekerjaan tidak wujud menerusi aplikasi TikTok dengan upah RM3,000 sebulan.
Suspek berusia 29 hingga 37 tahun itu ditahan pada pukul 12 tengah hari oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Azrul Mohamed berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi di negeri ini sejak awal Ogos dengan suspek berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang mencari mangsa menerusi TikTok.
Menurutnya, suspek menyasarkan warga China dengan memperdayakan mereka menerusi tugasan mudah seperti menekan tanda ‘like’ pada iklan dan bermain permainan dalam talian yang menjanjikan komisen atau keuntungan.
“Setelah mangsa berminat untuk melaksanakan tugasan yang diberikan, komunikasi dengan mangsa akan diambil alih oleh individu lain dalam rangkaian sindiket.
“Ahli sindiket akan meneruskan proses memperdaya sehingga mangsa melakukan transaksi kewangan,” katanya pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah, di sini hari ini.
Azrul berkata, selain tangkapan, pihaknya merampas pelbagai barang dipercayai digunakan bagi kegiatan itu termasuk komputer riba dan 23 buah telefon bimbit pelbagai jenama. – KOSMO! ONLINE
The post Tawar kerja tekan tanda ‘like’, rupa-rupanya perangkap ‘scam’ appeared first on Kosmo Online.
