Tawaran Awam Permulaan Ocean Fresh terlebih langganan 76.22 kali
herman
24/06/2024 - 15:41
KUALA LUMPUR 24 Jun - Tawaran awam permulaan (IPO) Ocean Fresh Berhad untuk orang awam Malaysia telah terlebih langgan sebanyak 76.22 kali.
Kumpulan itu berkata, sebanyak 16,177 permohonan diterima bagi mendapatkan 811.54 juta saham terbitan diterima daripada orang awam Malaysia untuk 10.51 juta saham yang disediakan untuk langganan awam.
Katanya, bahagian saham awam Bumiputera terlebih langgan sebanyak 65.68 kali, selepas sejumlah 8,654 permohonan untuk 350.39 juta saham terbitan diterima.
Bagi bahagian awam lain, sebanyak 7,523 permohonan untuk 461.15 juta saham baharu telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 86.75 kali.

"Sementara itu, sejumlah 1.71 juta saham terbitan tersedia untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak juga telah dilanggan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ejen penempatan mengesahkan 37.83 juta saham baharu menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah ditempatkan sepenuhnya.
Syarikat pemproses makanan laut beku itu sebelum ini memaklumkan akan menggunakan 57.1% daripada hasil IPO atau RM8 juta untuk kemudahan simpanan sejuk beku baharunya di Kuantan, Pahang.
IPO Ocean Fresh itu menyasarkan untuk mengumpul sehingga RM14.01 juta menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO, berharga 28 sen sesaham, terdiri daripada 50.05 juta saham biasa baharu, mewakili 23.8% daripada modal saham yang diperbesarkan.
Selepas penyenaraian, syarikat itu dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM58.84 juta, berdasarkan modal saham terbitan sebanyak 210.15 juta.
KAF Investment Bank Berhad merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO ini.- DagangNews.com

