
Tawau akan menjadi tuan rumah Festival Bahasa dan Sastera (Bahtera) Peringkat Negeri yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Julai di SJK (C) Yuk Chin.
Festival julung kali anjuran DBP Sabah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Tawau itu bakal dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Pengarah DBP Sabah, Jennitah Noordin berkata, program ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mendalami keindahan bahasa dan karya sastera tempatan.
Beliau menambah, Bahtera juga bertujuan memartabatkan bahasa kebangsaan serta menggalakkan dialog antara budaya dan penghargaan seni sastera.
Antara acara menarik sepanjang festival termasuk pertandingan forum remaja, pesta buku, dan pelbagai aktiviti pendidikan serta sumbangan buku kepada lapan sekolah di Dun Apas.
