
TAWAU: Pasukan e-sukan yang akan mewakili daerah ini pada Sukan Sabah (Saga) XI dari 11-17 Oktober diharap mampu menjadi juara dengan memanfaatkan kelebihan sebagai tuan rumah.
Ahli Dewan Undangan Negeri Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan optimis dengan peluang yang ada dan berharap pasukan Tawau berlatih bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan yang disasarkan.
“Sekiranya mereka berjaya, perkembangan ini sudah pasti akan mampu menarik lebih ramai peminat, bakat dan pemain baharu untuk menceburkan diri ke dalam e-sukan secara aktif”, katanya.
Nizam berkata demikian pada sidang media selepas berucap merasmikan Program Gamers All Out 2.0 anjuran Tokoneo dan Kelab Sukan Elektronik Tokoneo di Dewan Kolej Tingkatan Enam di sini pada Sabtu.
Pada masa sama e-sukan disifatkannya berkembang dengan pantas di daerah ini dan semakin popular dalam kalangan pelbagai peringkat umur khususnya anak-anak muda sekaligus membayangkan potensi besarnya.
“Misalnya pada program hari ini kita melihat seramai 300 peserta termasuk dari luar Tawau hadir mengambil bahagian untuk menguji kemahiran masing-masing selain merebut hadiah yang ditawarkan,” katanya.
Justeru Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri itu berharap penganjuran program atau pertandingan e-sukan dapat terus dirancakkan untuk menggilap bakat-bakat baharu yang bukan hanya bersaing di peringkat negeri dan kebangsaan tetapi juga antarabangsa.
Menurutnya, sudah sampai masanya juga untuk mereka yang meminati e-sukan supaya lebih fokus dan serius mengasah kemahiran kerana sukan terbabit turut menjamin pulangan yang baik dan menguntungkan.
“Sokongan Kementerian Belia dan Sukan serta pemimpin-pemimpin tempatan juga diharapkan dapat merancak dan memajukan lagi sukan ini termasuk peranan aktif pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.
Malah Nizam juga mendedahkan sudah lebih 10 tahun menjalin kerjasama erat serta memberikan dukungan dan sokongan kepadaTokoneo yang aktif menganjurkan program dan pertandingan e-sukan di daerah ini.
Mengulas lanjut, Nizam turut memuji pihak penganjur kerana konsisten mengadakan pertandingan dalam misi mencungkil lebih ramai bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan untuk mengharumkan nama Tawau.
