
ALOR SETAR – Penggunaan dadah sintetik ‘piu piu’ semakin membimbangkan apabila terdapat golongan muda termasuk remaja bawah umur tanpa segan silu merakam video dalam keadaan khayal sebelum dikongsikan dalam media sosial.
Tindakan memalukan dan berbahaya itu dilakukan termasuk untuk mendapat perhatian, tontonan dan pengikut di akaun media sosial masing-masing.
Setiausaha Agung Majlis Pe-nyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac), Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latiff mengakui bimbang dengan trend itu kerana dikhuatiri menjadi ikutan selain dianggap ‘perkara biasa’ bagi golongan muda.
“Kita bimbang orang muda yang menontonnya mendapat gambaran seolah-olah perbuatan itu menyeronokkan dan tidak membawa akibat buruk.
“Ia boleh mewujudkan pembelajaran sosial di mana seseorang itu belajar dan meniru tingkah laku yang mereka lihat.
“Dalam keadaan khayal, seseorang itu mungkin membuat keputusan yang tidak dibuat ketika sedar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut beliau, kandungan dalam media sosial boleh tular dalam masa singkat dan mampu memberi pengaruh kepada ratusan, malah ribuan penonton.
“Apa yang nampak lucu selama beberapa minit di media sosial boleh memberi kesan jauh lebih panjang kepada diri, keluarga dan masa depan,” ujarnya.
Lebih membimbangkan, katanya, perbuatan itu juga boleh mempengaruhi orang ramai yang berkemungkinan melihat khayal sebagai sesuatu yang tidak memalukan atau berbahaya.
Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan berkongsi video lalok di media sosial dilakukan untuk mendapat perhatian, tontonan, komen dan pengikut.
“Dalam budaya media sosial, sesuatu yang ekstrem atau pelik kadangkala mendapat lebih banyak engagement (interaksi),” katanya.
Jelasnya, terdapat sesetengah individu khayal yang tidak menyedari dirinya dirakam kerana dalam keadaan separa sedar.
Beliau berkata, media sosial bukan satu-satunya punca penyalahgunaan dadah, namun mengakui platform itu boleh mempercepat penyebaran dan normalisasi sesuatu tingkah laku.
“Dahulu, sesuatu tingkah laku mungkin dilihat oleh kelompok kecil, sekarang ia boleh dirakam, dimuat naik dan menjadi tular.
“Algoritma media sosial juga cenderung memberikan perhatian kepada kandungan yang mendapat engagement tinggi,” katanya.
Beliau berkata, pendidikan awal perlu diperkasa bukan hanya dengan memberi mesej ‘jangan ambil dadah’, sebaliknya golongan muda perlu memahami kesan penggunaan bahan terlarang terhadap otak, emosi dan tingkah laku.
“Ibu bapa perlu diberikan pengetahuan mengenai cara-cara untuk mengenali perubahan tingkah laku dan tanda-tanda awal penyalahgunaan bahan.
“Sekolah, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti perlu bekerjasama,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan terhadap individu yang terjebak dengan dadah perlu meliputi aspek intervensi awal, kaunseling, rawatan dan pemulihan, bukannya tindakan menghukum semata-mata.
“Kita juga perlu mendidik pengguna media sosial supaya tidak memberikan engagement kepada kandungan yang mempromosikan penyalahgunaan bahan terlarang,” katanya.
The post Tayang diri khayal piu piu, bangga buat video appeared first on Kosmo Online.
