Tayar Bergolek Sendiri Tengah Jalan, Didakwa Tercabut Dari Lori [Video]

LocalCars
4 Dec 2024 • 6:04 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Walaupun sudah memandu dalam keadaan berhati-hati, namun sebagai langkah berjaga-jaga kita juga perlu berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling.

Selain kecuaian pemandu, terdapat banyak lagi faktor yang boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya seperti keadaan jalan, kondisi kenderaan, haiwan melintas dan sebagainya.

Lebih membimbangkan lagi jika ia boleh menjadi punca kepada kecederaan atau kemalangan yang meragut nyawa.


Tayar Didakwa Tercabut Dari Lori Sebelum Bergolek Sendiri Di Jalan Raya

Menerusi video dimuat naik di laman TikTok (@atika.lanni), seorang pengguna jalan raya ini sempat merakam detik ketika dia menemui sebiji tayar yang dikatakan bergolek secara sendiri dipercayai di sebuah lebuh raya sekitar Shah Alam, Selangor.

Tayar itu dilihat bergerak tanpa arah tujuan iaitu ke kiri dan ke kanan sehingga menyebabkan beberapa pemandu perlu memperlahankan kenderaan.

image is not available
Sumber: TikTok (@atika.lanni)

Meskipun bergolek sendiri tanpa ditolak oleh siapa-siapa, tetapi boleh tahan laju jugalah ia bergerak.

Difahamkan, tayar tersebut tercabut dari sebuah lori yang sebelum itu berada di lebuh raya yang sama.

Di akhir video, tayar berkenaan telah keluar dari jalan raya dan melalui kawasan berumput pula. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat memastikan sejauh manakah ia bergerak selepas itu.

Video tersebut telah mendapat perhatian ramai sehingga meraih 1.4 juta tontonan setakat artikel ini ditulis.


Aksi Sebiji Tayar Bergolek Di Atas Jalan Raih Pelbagai Reaksi

Menjengah ke ruangan komen, segelintir pengguna TikTok meluahkan rasa terhibur melihat keadaan tayar ‘sesat’ yang bergolek itu lebih-lebih lagi ketika melepasi antara dua tiang papan tanda.

“Aku pula lepas tengok tayar tu masuk antara dua tiang signboard, terus jerit goal,” kata netizen.

“Part dia (tayar) melompat tu macam tengah gembira,” ujar seorang lagi pengguna TikTok.

Namun, majoriti individu pula menganggap kejadian itu sebagai sesuatu yang agak membahayakan terutamanya apabila tayar berkenaan terlanggar pengguna jalan raya.

Malah, beberapa netizen turut berkongsi kisah terlibat dalam kemalangan akibat dihentam oleh tayar ‘sesat’ seperti ini.

“Trauma tengok. Pernah kemalangan lima tahun lepas sebab tayar macam ni,” luah pengguna media sosial.

image is not available
Sumber: TikTok


Kes Kemalangan Melibatkan Tayar Yang Tercabut Di Jalan Raya

Sebelum ini, satu kemalangan tidak diingini telah menimpa seorang penunggang motosikal selepas sebiji tayar lori secara tiba-tiba datang dari bahagian kiri jalan sehingga melanggar motosikal dinaikinya.

Nasib menyebelahi penunggang tersebut kerana dia dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan yang tidak serius.

Bukan itu sahaja, satu lagi kemalangan telah menimpa seorang pemandu Perodua Aruz selepas tayar dari sebuah lori di hadapannya tiba-tiba tercabut dan menghentam bahagian cermin hadapan kereta itu.

Susulan kejadian itu, pemandu tersebut telah cedera di bahagian muka dan kepala.

Jadi kepada anda semua, berhati-hatilah ketika berada di jalan raya ya.