
Penyanyi terkemuka Taylor Swift memfailkan tiga permohonan tanda dagang untuk rupa dan suara beliau pada 24 April lalu di Amerika Syarikat. Beliau memfailkan tanda dagang suara untuk frasa “Hey, it’s Taylor Swift” dan “Hey, it’s Taylor.” dan satu untuk imej beliau memakai baju berkilau memegang gitar di atas pentas.
Tanda dagang dipercayai difailkan bagi mengelakkan frasa yang kerap digunakan serta imej ikonik beliau disalah gunakan oleh kecerdasan buatan (AI). Di Amerika Syarikat suara dan rupa artis sudahpun terkandung dalam Hak Publisiti yang mengelakkan wajah serta bait suara digunakan tanpa kebenaran.

Tetapi ini adalah mengikut undang-undang lama sebelum pengenalan teknologi AI generatif. Tanda dagang yang difailkan Swift dilihat sebagai satu lagi lapisan perlindungan mengelakkan rupa dan suara beliau disalahgunakan.
Sekiranya tanda dagang diluluskan, Swift boleh menghalang Imitasi suara AI yang kedengaran seperti dirinya dan kandungan digital yang menggunakan imej atau gaya visual yang menyerupai rupa yang didaftarkan.
Ini adalah isu yang dihadapi oleh Scarlett Johanssen apabila mod suara OpenAI menawarkan pembantu maya yang menyerupai suara beliau di dalam filem Her dua tahun lalu.
OpenAI pada waktu tersebut mengatakan suara pelakon Black Widow tidak digunakan sebaliknya mereka menggunakan suara pelakon lain yang seakan serupa. Apabila isu menjadi tular, OpenAI segera menarik semula suara seakan Johanssen dalam aplikasi mereka sebelum tindakan guaman diteruskan.
Sebagai artis dengan jumlah penstriman tertinggi dalam sejarah Spotify, Taylor Swift ingin memastikan rupa dan suara tidak disalahguna. Beliau menjadi artis berprofil tinggi kedua memfailkan tanda dagang terhadap suara beliau selepas Matthew McConaughey melakukannya awal tahun ini.
Penyalahgunaan rupa dan suara artis menjadi isu besar selepas Sora dan Seedance dilancarkan tahun ini. Pemilik badan perlu melaporkan penyalahgunaan secara manual kerana model AI tidak meletakkan halangan terhadap apa yang boleh dijana pengguna.
iQIYI menerima kritikan artis China minggu lalu kerana model Nadou Pro mempunyai pangkalan data 100 pelakon yang boleh dijana menggunakan AI. Kebenaran tidak diminta dan imej mereka digunakan untuk mempromosikan Nadou Pro yang didakwa membolehkan produksi filem serta drama dilakukan sepenuhnya menggunakan AI generatif tanpa pelakon serta krew manusia.


