
KUALA LUMPUR 18 Dis – Sebanyak 18 agensi kerajaan dan rakan strategik menerima pengiktirafan dari Technology Depository Agency Berhad (TDA) atas sumbangan cemerlang mereka dalam pembangunan teknologi sebagai sokongan kepada usaha Malaysia memajukan dan memperkukuh industri tempatan.
Pengiktirafan ini menonjolkan organisasi yang menunjukkan kepimpinan, inovasi, dan komitmen kukuh dalam pelaksanaan Industrial Collaboration Programme (ICP) dan Performance-Based Contracting (PBC).
TDA dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua mekanisme nasional ini dilaksanakan bagi meningkatkan pemerolehan teknologi, membina keupayaan tempatan dan memperbaiki nilai pulangan dalam perolehan kerajaan.
Sebagai agensi pelaksana pusat yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia, TDA berkata ia menyelaras dan mengurus perlaksanaan ICP dalam perolehan kerajaan yang memerlukan pemindahan teknologi strategik, pembangunan keupayaan, serta penglibatan industri daripada pembekal yang terlibat dalam perolehan kerajaan bernilai tinggi.
“Mandat ini memastikan perolehan nasional bukan sahaja memenuhi keperluan operasi, tetapi turut menyumbang kepada impak sosioekonomi jangka panjang dengan memperkukuh ekosistem industri negara.
“Selain itu, melalui PBC, pembayaran dan tanggungjawab kontraktor dikaitkan dengan pencapaian penunjuk prestasi tertentu. “Kaedah ini meningkatkan kecekapan, menggalakkan inovasi pembekal dan memastikan aset serta sistem kerajaan memberikan nilai optimum sepanjang kitar hayatnya,” kata TDA dalam kenyataan itu.
Anugerah berkenaan disampaikan bersempena ulang tahun ke-10 TDA yang disempurnakan oleh bekas Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying baru-baru ini.

Lim kini dilantik semula di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui penyusunan semula kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Lim berkata pengiktirafan ini menekankan kepentingan kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh keupayaan perindustrian dan teknologi Malaysia.
“Pencapaian agensi dan rakan kerjasama ini menunjukkan bagaimana usaha sama strategik dan inovasi mampu mendorong hasil yang signifikan untuk negara,” katanya.
Antara penerima anugerah termasuk agensi kerajaan seperti Kementerian Pertahanan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Prasarana Malaysia Berhad dan Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara.
Selain itu, pemain industri terkemuka seperti Galaxy Helicopters (M) Sdn Bhd, UniKL, CRRC Zhuzhou Locomotives Co Ltd, Alstom Transport Systems Malaysia, Meiden Malaysia Sdn Bhd, Truckquip Sdn Bhd, SMH Rail Sdn Bhd dan Siemens Mobility Sdn Bhd turut menerima pengiktirafan tersebut.
Pengiktirafan ini menegaskan kepentingan kerjasama antara institusi awam dan rakan strategik dalam memacu matlamat pembangunan negara.
Sejak penubuhannya pada 2015, TDA telah memainkan peranan penting dalam merapatkan penyelesaian teknologi dengan keperluan kerajaan, serta memacu inisiatif yang menyokong agenda pembangunan ekonomi dan indusri negara. - DagangNews.com


