liza12/01/2026 - 17:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Jan – TDM Berhad memaklumkan bahawa tarikh akhir bagi menyelesaikan cadangan penjualan kepentingan ekuiti mereka dalam PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) dan PT Sawit Rezki Abadi (SRA) kepada Ikhasas Sawit Sdn Bhd telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2026.
Jumlah bayaran tunai bagi cadangan jualan ini adalah RM115 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TDM berkata pelanjutan tempoh itu diberikan bagi membolehkan pihaknya dan pembeli memuktamadkan terma-terma penting dalam Perjanjian Tambahan yang berkaitan dengan Perjanjian Jual Beli Bersyarat (CSPA) asal.
Menurut TDM, kedua-dua pihak tetap komited untuk menyelesaikan transaksi dan sedang bekerjasama rapat bagi memastikan semua syarat dipenuhi.
Transaksi ini termasuk dalam kategori Non-Related Party Transaction mengikut Bab 10 keperluan penyenaraian Bursa Malaysia, yang melibatkan pihak yang tidak berkaitan dengan syarikat.
TDM berkata pelanjutan ini memberi peluang untuk menyelesaikan semua aspek teknikal dan perundangan sebelum menamatkan jualan, sekali gus mengurangkan risiko dan memastikan kelancaran proses.
Untuk rekod, pengumuman mengenai pelupusan dua anak syarikat TDM di Indonesia itu mula dibuat pada tahun 2022.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan TDM ketika itu, RKA dan SRA masing-masing telah diperbadankan pada tahun 2007 dan 2011 di bawah undang-undang Republik Indonesia dengan aktiviti utama dalam penanaman kelapa sawit, perdagangan minyak sawit dan produk lain yang berkaitan.
“RKA telah mengalami kerugian sejak tahun pertama pengeluaran, manakala SRA tidak menjalankan sebarang operasi sejak pengambilalihan oleh kumpulan TDM pada tahun 2015.
“Kedua-dua syarikat dijangka tidak dapat menjana keuntungan dalam tempoh terdekat (sekitar 2022).
“TDM telah merekodkan kemerosotan nilai pelaburan (impairment) aset Indonesia sejak tahun kewangan 2017 berjumlah RM729 juta. Kedua-dua anak syarikat kumpulan TDM di Indonesia itu juga telah diklasifikasikan sebagai aset dipegang untuk jualan sejak tahun kewangan berakhir 2019,” kata kenyataan itu.
TDM Berhad adalah anak syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu yang aktif dalam sektor perladangan dan kesihatan.

