Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan sahkan anggota meninggal dunia di Batalion Ke-20, Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri, Isnin lalu.
TDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur ‘manhandling’ (kekerasan) yag dipercayai penyebab kematian anggotanya Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21.
TDM sahkan anggota meninggal dunia
Menurut kenyataan itu, laporan awal yang diterima hasil bedah siasat dilakukan di Hospital Miri, Selasa lalu, mendapati punca kematian disahkan akibat trauma tumpul pada dada yang merujuk kepada hentakan kuat di bahagian dada menyebabkan kerosakan pada jantung.
Justeru itu, TDM menyerahkan kes berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalani siasatan lanjut.
“Selain itu, TDM turut menubuhkan Lembaga Siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca dan faktor yang menyumbang kepada insiden itu,” katanya.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, beliau memandang serius kejadian itu.
Beliau turut memberikan jaminan TDM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil.
“TDM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang terlibat dan didapati bersalah di dalam insiden ini.
“TDM juga berharap orang ramai tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
“Saya turut berdukacita dengan kejadian itu dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka tabah dengan kehilangan ini,”tegas beliau.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Muhammad Muqriz sudah diterbangkan ke Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor pada jam 11.55 malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota tentera, dikejutkan jam 2.15 pagi oleh dua anggota senior untuk bersahur. Sebelum itu, dia diarahkan melakukan ‘commando rest’ selama dua minit dan tekan tubi 20 kali.
Selepas itu, mangsa berdiri, tetapi terus pitam dan meninggal dunia di hospital pada jam 3.05 pagi.