Teater ‘Cikgu Anda’ Diadaptasi Daripada Kisah Benar, Bertemakan Sambutan Hari Guru 

6 Jun 2023 • 4:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Teater 'Cikgu Anda' bakal dipentaskan Grand Barakah Hotel Ampang pada 10 Jun. - Gambar dari Instagram Cikgu Anda

Bertemakan sambutan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei lalu, Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM)  bakal mementaskan teater berjudul ‘Cikgu Anda’. 

Pementasan teater berdurasi kira-kira sejam 30 minit itu akan dibintangi pelakon seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Hairi Safwan, Che Mat Raja Lawak, Najua P Ramlee, Sarah Fazny, Abon, Mubarak Majid dan Iera Sabariah.

Bakal dipentaskan di Grand Barakah Hotel Ampang pada 10 Jun nanti, pementasan ini turut mendapat kerjasama Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR).

image is not available
Naskah sempena sambutan Hari Guru itu adalah idea asal Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim berdasarkan cerita sebenar dari perbualan dan perbincangan bersama ahli-ahli veteran Alumni PAYAAM.

Menurut Pengarahnya, Amran Nasrudin, naskah bersempena sambutan Hari Guru itu adalah idea asal Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim berdasarkan cerita sebenar dari perbualan dan perbincangan bersama ahli-ahli veteran Alumni PAYAAM.

“Skrip ini diadaptasikan ke pentas yang dilakonkan semula untuk mengangkat nama Yayasan Anda Akademik Malaysia, satu institusi pendidikan swasta yang diasaskan sekumpulan pelajar universiti tempatan.

“Ia dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac 1971. Beliau (Anwar) bersama beberapa mahasiswa telah menyumbang bakti mendidik sebahagian besar pelajar di yayasan itu yang terkandas dalam peperiksaan dan terus menyambung pelajaran mereka,” katanya pada sidang media teater ‘Cikgu Anda’ yang  berlangsung di Grand Hotel Barakah baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, Amran berkata, sehingga kini, anak didikan dari  Yayasan Anda telah berjaya menjadi peneraju utama jawatan tertinggi negara, jabatan kerajaan dan swasta.

Justeru, katanya, berdasarkan cerita benar ini, Cikgu Anda bakal menonjolkan semangat, usaha dan ketabahan mahasiswa dan guru mewujudkan modul dan kelas pembelajaran bagi menyelamatkan pelajar dari tercicir

Pementasan itu juga bakal dihadiri oleh Perdana Menteri, yang juga penaung PAYAAM. – Getaran, 6 Jun 2023