
Bakal muncul di pentas teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) tidak lama lagi, penyanyi, Mimi Fly mengakui satu persatu impiannya tercapai tatkala dirinya sibuk meneroka selok-belok dunia seni.
Sentiasa dahagakan ilmu dan pengalaman baharu, pemilik nama Shamimi Amalina Norhisham itu menyifatkan sikap cepat bosannya itulah menjadi pembuka segala ruang dan cabang yang mahu diterokai menjadi realiti pada usianya menjelang 40 tahun ini.
“Saya pernah terlibat dengan teater muzikal sebelum ini, cuma belum pernah terlibat dalam produksi sebesar PGL di bawah arahan Puan Seri Tiara Jacquelina.
“Sebagai seorang penghibur, saya memang suka belajar pelbagai cabang seni. Menyanyi, menari, menghasilkan lagu, mengarah muzik video, mengajar tarian, yoga dan sekarang teater muzikal.
“Teater muzikal ini memang antara impian yang saya selalu cuba capai, tetapi sebelum ini tidak pernah menjadi. Saya seorang yang cepat bosan. Saya jenis suka belajar benda baharu. Apabila sudah lama buat sesuatu, saya akan cuba perkara lain pula.
“Tahun ini saya berusia 40 tahun. Apabila akhirnya dapat peluang ini, saya rasa sangat bangga dengan diri sendiri. Ini adalah pencapaian peribadi yang sangat bermakna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Temberang itu mengakui dirinya tidak dapat lari daripada rasa gementar lebih-lebih lagi apabila memikirkan kemampuannya untuk menghilangkan identitinya sendiri ketika menjayakan watak Bayan.
“Ini kali pertama saya buat teater muzikal berskala besar. Saya tidak tahu prosesnya bagaimana. Memang sangat gementar. Tapi saya tidak boleh layan perasaan itu. Sudah cakap mahu buat, jadi perlu komited.
“Saya memang pernah berlakon sebelum ini, cuma sudah lama tidak aktif. Selama ini orang lebih kenal ‘Mimi Fly’, bukan pelakon. Saya pun tidak banyak berlakon drama, jadi semuanya terasa baharu.
“Cabaran paling besar ialah memastikan penonton tidak nampak ‘Mimi Fly’ di atas pentas. Saya mahu mereka nampak watak itu, bukan diri saya. Sebab itu saya kena belajar dan faham watak tersebut sebaik mungkin,” jelasnya.

Tiada ruang untuk berehat
Dalam kesibukan melalui proses latihan, bengkel dan asasi teater sebagai persiapan awal, Mimi mengakui dirinya masih terikat dengan jadual kerja yang sangat padat.
Kata Mimi, dirinya masih menerima tawaran-tawaran penting yang berkaitan dengan bidang nyanyian dan sibuk menyiapkan baki kerja yang perlu diselesaikan sebelum hari pementasan.
“Sekarang ini saya sedang sibuk menjalani latihan teater. Jadi sekarang apa sahaja yang saya mahu keluarkan, sama ada lagu baharu atau muzik video, semuanya perlu disiapkan sekarang sebelum mula latihan.
“Saya juga masih ambil tawaran kerja lain. Tetapi hanya projek yang penting sahaja. Kadang-kadang saya sendiri tidak tahu mana satu penting, tapi bila berbincang dengan pasukan, kalau mereka kata penting, saya ikut.
“Ada beberapa projek yang saya rasa memang tidak boleh ditolak. Namun pada masa sama, saya sengaja beri lebih banyak masa kepada diri sendiri untuk betul-betul memahami dunia teater dan watak ini,” kongsinya.
Selain teater, penyanyi itu juga memaklumkan dirinya kini sedang giat menghasilkan lagu baharu yang bakal dimuatkan di dalam album solonya nanti.
Ditanya sama ada dirinya mempunyai perancangan untuk berehat, Mimi bagaimanapun sedar dirinya sibuk menghasilkan lagu dan penjenamaan diri sejak tahun lalu, namun dia memilih untuk meredakan segala tekanan dengan caranya tersendiri.
“Saya tiada masa untuk berehat. Sebenarnya cara saya bekerja itu sendiri adalah rehat. Saya sudah pandai seimbangkan kerja dan kehidupan.
“Kalau kerja, saya tetap anggap macam bercuti. Saya tidak terlalu serius. Kawan-kawan saya pun tahu perkara itu.Bila kerja siap, saya akan pergi air terjun atau sungai.
Sekarang ini saya siap buat mesyuarat di sungai. Seperti baru-baru ini pun saya bermesyuarat bersama Adira sambil berkelah di air terjun,” ujarnya.
The post Teater muzikal PGL, Itu pencapaian peribadi bermakna tahun ini – Mimi Fly appeared first on Utusan Malaysia.




