JOHOR BAHRU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohd Faezuddin Puad, menegaskan budaya politik “tebuk atap” tidak boleh diterima dalam sistem demokrasi negara kerana ia jelas membelakangkan mandat rakyat yang diberikan melalui pilihan raya.
Menurutnya, rakyat keluar mengundi untuk memilih kerajaan menerusi peti undi, bukannya untuk melihat keputusan tersebut diubah melalui percaturan politik di belakang tabir demi kepentingan pihak tertentu.
“Apabila mandat rakyat diketepikan, kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi dan ahli politik akan merosot dengan teruk.
"Ini bukan sahaja mencemarkan demokrasi, malah menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi politik negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, sejarah Langkah Sheraton pada tahun 2020 wajar dijadikan pengajaran besar apabila mandat PRU-14 yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) 1.0 tumbang tanpa melalui pilihan raya.
Katanya, situasi itu telah mencetuskan ketidakstabilan politik berpanjangan, pertukaran kerajaan serta pertukaran beberapa Perdana Menteri dalam satu penggal sehingga menjejaskan fokus terhadap pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 kepada Kerajaan Perpaduan PH-BN perlu dihormati dan tidak boleh diubah sesuka hati melalui rundingan kuasa atau jajaran politik baharu.
“Rakyat sudah penat dengan politik perebutan kuasa di tengah-tengah penggal pentadbiran. Ketika rakyat berdepan kos sara hidup yang semakin mencabar akibat krisis global, pemimpin politik sepatutnya menumpukan usaha menyelesaikan masalah rakyat, bukan mencetuskan krisis politik yang tidak perlu,” katanya.
Beliau turut menegaskan sekiranya ada pihak mahu menukar kerajaan, mandat itu perlu dikembalikan kepada rakyat melalui pilihan raya dan bukannya melalui budaya politik “tebuk atap” yang mencacatkan demokrasi.
“Kerajaan yang dipilih melalui peti undi mesti dihormati kerana mandat rakyat bukan milik ahli politik untuk diubah sesuka hati,” katanya.


