
LAHAD DATU: Pelajar di daerah ini diberi pendedahan lebih dekat kepada bidang sains dan teknologi menerusi program jangkauan Malaysia Techlympics 2026 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan II, pada Isnin.
Program itu merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk memperluas akses kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem), khususnya kepada kanak-kanak dan golongan muda di Sabah.
Siri jelajah di Sabah bermula di Pulau Banggi, Kudat pada 31 Julai dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi sebagai lokasi utama serta disertai SK Karakit dan SK Lok Tohog. Program itu kemudian diteruskan di SK Pekan II sebelum menutup siri jelajah di Sabah di SMK Kuhara, Tawau.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata Malaysia Techlympics berperanan sebagai pelengkap penting kepada kurikulum sedia ada yang disediakan Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata program itu memberi peluang kepada golongan muda mengenal pasti potensi diri, berkongsi idea inovatif, membina keyakinan serta mengembangkan kemahiran menerusi pembelajaran di luar bilik darjah.
“Program ini menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan pertandingan bagi menarik penyertaan pelajar dan golongan muda berusia antara enam hingga 30 tahun, sekali gus memberi peluang kepada mereka meneroka teknologi dalam suasana pembelajaran yang praktikal,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Antara bidang yang diketengahkan ialah kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), dron, pengekodan dan robotik, sejajar dengan peranan teknologi yang semakin penting dalam kehidupan harian.
Bagi kebanyakan peserta, program itu membuka peluang untuk mendalami Stem di luar pembelajaran berasaskan buku teks, selain memahami bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan bagi menangani cabaran dalam kehidupan sebenar.
Yusof berkata inisiatif itu juga bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar dan golongan muda menjadikan Stem serta bidang sains, teknologi dan inovasi sebagai laluan untuk melanjutkan pengajian dan membina kerjaya pada masa hadapan.
Beliau berkata usaha memperkukuh kemahiran teknologi dalam kalangan golongan muda turut membantu mempersiapkan mereka menyumbang kepada perkembangan ekonomi digital negara.
Program di Lahad Datu itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk mewujudkan ekosistem pembangunan bakat yang lebih inklusif serta memperluaskan peluang dalam bidang sains dan teknologi kepada komuniti di seluruh Sabah.
Beliau berharap program jangkauan itu dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Sabah untuk menceburi bidang Stem serta sains, teknologi dan inovasi, sekali gus melahirkan generasi inovator dan tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa hadapan.






