Techstore terima kontrak sediakan mesin pengimbas beg dan badan RM7.7 juta Jabatan Kastam

28/07/2025 - 18:16
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 28 Julai - Penyedia perkhidmatan IT perusahaan, TechStore Berhad menerusi Tech-Store Malaysia Sdn Bhd menerima kontrak RM7.7 juta daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi penyediaan perkhidmatan pajakan dan latihan empat unit mesin pengimbas beg dan dua unit mesin pengimbas badan berserta aksesori.
Kumpulan itu berkata, kerja-kerja itu akan dilaksanakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands North di Singapura, sebagai sebahagian daripada projek RTS Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.
Pengarah Urusan TechStore, Tan Hock Lim berkata, anugerah itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan kumpulan dalam menyediakan sistem IT perusahaan yang boleh dipercayai bagi kawalan sempadan dan pemeriksaan keselamatan tinggi.
Beliau berkata, kontrak itu akan mengembangkan lagi penglibatan TechStore dalam projek RTS Link, yang merangkumi khidmat rundingan reka bentuk bagi peralatan depoh dan kenderaan perkhidmatan; bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS), dan kerja-kerja sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) RTS, serta projek kerja-kerja pengubahsuaian untuk agensi-agensi Malaysia di CIQ Woodlands North.
Katanya, Selain RTS Link, pihaknya juga terlibat dalam inisiatif besar seperti Laluan LRT Kelana Jaya, Laluan LRT Ampang, Laluan MRT Kajang, dan projek LRT3 yang sedang berjalan.
"Dengan dorongan kerajaan yang semakin meningkat ke arah pendigitalan pengangkutan awam, kami melihat permintaan yang semakin tinggi bagi penyelesaian IT perusahaan yang bersepadu, selamat dan disesuaikan secara tempatan.
"Kumpulan kekal fokus untuk memperkukuh kepakaran dalam bidang ini dan menyasarkan projek pengangkutan yang lebih besar dan kompleks di Johor dan Pulau Pinang, selaras dengan strategi kami untuk menyokong transformasi digital ekosistem pengangkutan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Buku tempahan belum dibil kumpulan kekal kukuh sebanyak RM135.3 juta setakat 31 Mei 2025, disokong aliran kerja dengan jumlah bidaan tender mencecah RM1.2 bilion. - DagangNews.com
standard

