Transsion, syarikat yang mengeluarkan peranti di bawah jenama Tecno, Infinix dan Itel disaman oleh Qualcomm dan Phillips kerana didakwa menggunakan harta intelek mereka tanpa membayar lesen. Dalam laporan Financial Times, Transsion yang berpangkalan di Shenzen turut menerima tekanan daripada Nokia untuk membayar lesen menggunakan teknologi yang patennya dipegang oleh syarikat telekomunikasi terkemuka Finland ini.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Transsion mula mengembangkan sayap ke lebih banyak negara selepas hanya memberikan tumpuan di benua Afrika dimana ia memegang 48% pasaran telefon pintar. Sebelum ini pada tahun 2019, Huawei mengemukakan saman ke atas Transsion kerana turut didakwa melanggar harta intelek.

Jurucakap Transsion berkata mereka komited untuk melakukan bayaran pelesenan 5G yang dipegang oleh pihak ketiga. Impak jangka pendek yang mungkin berlaku ialah harga jualan Infinix dan Tecno akan meningkat kerana bayaran royalti teknologi yang akan dikenakan adalah tinggi.
Qualcomm sebelum ini berjaya memenangi kes ke atas Apple ke atas pelanggaran paten teknologi modem. Sebagai penyelesaian, Apple bersetuju membayar pampasan yang diminta dan menggunakan modem Qualcomm sehingga 2027. Nokia pula berjaya menyebabkan peranti Oppo diharamkan di beberapa pasaran EU sehinggalah bayaran royalti diterima.



