
Bisik-bisik tentang kononnya hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak mahu ditukar kepada tahanan rumah sepatutnya membuat darah setiap rakyat Malaysia mendidih.
Jangan salah anggap; ini bukan soal politik, dendam atau soal siapa suka siapa benci. Ini melibatkan maruah negara, sama ada kita benar-benar berpegang kepada prinsip bahawa undang-undang terpakai kepada semua golongan, sama ada kaya, miskin, berkuasa atau tidak berdaya.
Najib sudah pun menikmati ‘diskaun’ hukuman yang luar biasa. Hukuman penjara yang sepatutnya 12 tahun dipotong separuh. Denda berjuta-juta tinggal ‘seciput’. Semua itu berlaku selepas beliau kalah di setiap peringkat rayuan di tiga mahkamah, dengan setiap alasan sudah diteliti dan ditolak. Kes ini sudah muktamad. Beliau bersalah. Titik.
Jadi bila ada pula suara mahu menukar penjara kepada rumah mewah, itu bukan sekadar penghinaan terhadap sistem keadilan. Itu tamparan kepada semua rakyat Malaysia.
Ia mengukuhkan persepsi busuk bahawa di negara ini ada dua undang-undang; satu untuk rakyat marhaen dan satu lagi untuk golongan elit yang kebal kuasa. Jika kita boleh menerima atau bertolak ansur dengan keadaan ini, maka kita sebenarnya rela melihat asas demokrasi sendiri dikuburkan hidup-hidup.
Jangan lupa; Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah merasai jeriji besi penjara kerana pertuduhan yang cukup rapuh dan amat mengaibkan sistem kehakiman negara.
Beliau meringkuk bertahun-tahun bukan kerana bukti, tetapi kerana kuasa digunakan sebagai senjata. Namun, Anwar tidak memerintah dengan dendam. Beliau sudah berulang kali menyatakan pengampunan tidak boleh dicemari sentimen peribadi. Itu sikap seorang negarawan sejati.
Tetapi kes Najib bukan soal peribadi. Ini bukan drama politik semata. Ini tentang skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia moden; rompakan yang mengaibkan nama Malaysia di mata dunia, yang memiskinkan generasi akan datang.
Jika hukumannya terus diringankan, maka mesej yang mahu disampaikan amat jelas; kalau cukup kaya dan berkuasa, anda boleh merompak negara dan akhirnya hanya ‘berkurung’ di rumah sambil menonton televisyen plasma.
Malaysia tidak boleh mencipta mesej sebodoh itu. Tidak ketika kita sedang berusaha membina semula keyakinan kepada institusi dan membuktikan bahawa negara ini masih ada tulang belakang moral yang ampuh.
Jika kita tunduk di sini, ia adalah isyarat yang memberitahu rakyat bahawa keadilan itu barang dagangan. Ia boleh dibeli, boleh dirunding dan boleh diubah sesuka hati. Secara tidak langsung, kita bakal mendidik generasi akan datang bahawa rasuah bukan sahaja boleh diselamatkan, malah menguntungkan, asalkan anda memiliki ‘talian hayat’ yang tepat.
Rakyat Malaysia tidak meminta lebih. Mereka tidak menuntut balas dendam. Mereka hanya menuntut keadilan yang sama rata. Dan keadilan itu mudah difahami; saksama atau langsung tidak bermakna. - Getaran, 12 September 2025
