Tegur biar berfakta, tegas bila bertindak

LocalOpinion
26 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tegur biar berfakta, tegas bila bertindak

PELBAGAI video berkaitan tindakan warga asing kini dikongsi masyarakat tempatan di media sosial, mencetuskan perbincangan hangat mengenai pematuhan peraturan dan kepentingan rakyat.

Perkongsian itu memperlihatkan keresahan masyarakat yang mahu setiap pelanggaran ditangani dengan sewajarnya, tanpa mengira siapa yang melakukannya.

Namun, dalam menyuarakan ketidakpuasan hati, fakta perlu menjadi sandaran supaya teguran masyarakat tidak tersasar daripada isu sebenar, manakala aduan yang dibangkitkan tidak berakhir sebagai polemik semata-mata.

Ketua Laboratori Generasi Siber, Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia, Dr. Syafila Kamarudin berkata, isu pendatang asing perlu dibincangkan secara tegas dan berasaskan fakta supaya kebimbangan rakyat tempatan tidak tenggelam dalam polemik media sosial.

Katanya, masyarakat kini giat berkongsi pandangan mengenai isu itu menerusi media sosial, namun cara penyampaian perlu diberi perhatian.

Menurutnya, sentimen semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya teguran perlu menjurus kepada kesalahan yang berlaku dengan bukti.

“Dari sudut komunikasi, isu pendatang asing memang trending ketika ini. Namun, setiap pandangan perlu disampaikan berfakta dan berasas supaya teguran terhadap pelanggaran tidak tersasar daripada isu sebenar.

“Pada masa sama, kebimbangan rakyat tempatan tidak boleh diketepikan kerana isu ini perlu ditangani dengan melihat kesannya terhadap masyarakat,” katanya.

Jelasnya, isu warga asing perlu terus dibahaskan bagi mencari penyelesaian, termasuk dalam aspek pengurusan warga asing

Beliau menegaskan bahawa penggunaan bahasa yang tidak sesuai ketika membincangkan isu berkenaan berisiko mencetuskan ketegangan antara negara.

Syafila turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan berdasarkan video pendek sehingga konteks sebenar kejadian mungkin terjejas.

“Sebagai rakyat, kita perlu bijak menilai maklumat yang tersebar. Jika melihat klip atau video pendek yang tidak diketahui sumber asalnya, kita perlu mendapatkan konteks penuh sebelum membuat kesimpulan,” katanya.

Justeru, komunikasi yang bertanggungjawab bukan bermaksud menyekat suara rakyat, sebaliknya memastikan aduan mengenai pelanggaran peraturan disampaikan dengan tepat dan berasaskan fakta.

Pada masa sama, kebimbangan masyarakat tidak seharusnya terhenti pada perdebatan dalam talian, sebaliknya perlu diberi perhatian melalui tindakan terhadap pelanggaran yang dilaporkan.

Aduan yang disertakan bukti perlu diteliti dan ditangani secara konsisten supaya usaha masyarakat mendedahkan sesuatu kejadian tidak sia-sia.

Bagi pengamal undang-undang, Khairul Naim Rafidi, tindakan tegas perlu dilaksanakan secara berterusan bagi mengelakkan pelanggaran sama berulang.

“Undang-undang tidak boleh hanya nampak tegas ketika operasi, tetapi mesti dikuatkuasakan secara konsisten supaya pihak yang melanggar peraturan tidak terus mengambil kesempatan.

“Langkah itu bagi memulihkan keyakinan masyarakat dan memastikan undang-undang dihormati semua pihak,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

The post Tegur biar berfakta, tegas bila bertindak appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved