Tekanan geopolitik dunia dikhuatiri tingkatkan kesilapan masa keluar masuk pelaburan, kata HSBC

WorldBusiness & Finance
26 Mar 2026 • 11:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tekanan geopolitik dunia dikhuatiri tingkatkan kesilapan masa keluar masuk pelaburan, kata HSBC image is not available amree26/03/2026 - 11:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Mac — Perkembangan geopolitik global yang berterusan tidak menentu kini dikhuatiri meningkatkan risiko kesilapan pelaburan, khususnya dalam cubaan menentukan masa terbaik pasaran.


Menurut Perbankan Persendirian HSBC, dalam laporan 'Changing Narratives, Continued Opportunity', situasi tekanan berkenaan dijangka mendorong pelabur beralih kepada strategi keluar masuk yang lebih defensif.


Berdasarkan keadaan semasa itu, pelabur disaran memberi tumpuan kepada pembinaan portfolio berdaya tahan melalui pempelbagaian meluas berbanding strategi ‘market timing’ yang amat berisiko tinggi.


Ketua Pegawai Pelaburan Global di Perbankan Persendirian dan Kekayaan Premier HSBC, Willem Sels, berkata, bersandarkan data sejarah, kesan insiden geopolitik terhadap pasaran lazimnya sementara.


"Suasana cenderung pulih dalam tempoh yang tertentu, dan bagi suku kedua 2026, kami mengekalkan kecenderungan terhadap saham bersifat pertumbuhan," jelas beliau dalam kenyataan bank berkenaan.


Katanya, ini terutama syarikat-syarikat yang mempunyai kuasa tersendiri dalam penetapan harga saham serta terdedah kepada tema pertumbuhan berstruktur seperti teknologi kecerdasan buatan (AI).


Fokus pelaburan tambah Sels, kekal tertumpu di Amerika Syarikat (AS) dan Asia yang terus memacu pertumbuhan antarabangsa, manakala Eropah dijangka menyusul disokong oleh perbelanjaan fiskal.


Selain itu, pelabur bernilai bersih tinggi digalakkan mempertimbangkan pendedahan kepada aset alternatif seperti dana lindung nilai dan pasaran swasta bagi memperluas akses peluang pulangan.

image is not available
WILLEM SELS



"HSBC turut menggariskan keutamaan utama pelaburan antaranya, pendedahan kepada semikonduktor dan prasarana elektrik sambil meluaskan pelaburan ke sektor industri, kewangan dan bahan," katanya.


Strategi pendapatan pula jelas beliau, perlu memberi tumpuan kepada bon gred pelaburan, khususnya dari pasaran yang masih membangun, bagi menjana pulangan secara stabil tanpa sebarang masalah.


Sels turut menilai aset alternatif untuk mengimbangi risiko melalui dana lindung nilai, pasaran swasta dan strategi global pelbagai aset, serta memanfaatkan pertumbuhan jangka panjang di Asia.


Sementara itu, Pakar Strategi Pelaburan Asia di Perbankan Persendirian dan Kekayaan Premier HSBC, Abhilash Narayan berkata, pelabur perlu mengelakkan pengaruh naratif pasaran yang terlalu ekstrem.


"Ini termasuk sama ada amat optimistik atau pesimis, kerana tiada satu aset yang sempurna, maka strategi terbaik adalah mempelbagaikan jenis pelaburan merentasi sektor dan geografi,” katanya.


Bagi Malaysia pula jelasnya, HSBC menjangkakan momentum ekonomi negara ini terus berkembang pada kadar sederhana dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 4.5% bagi tahun ini.


Pertumbuhan berkenaan kata Narayan, disokong oleh faktor penggunaan domestik, pelaburan dalam infrastruktur dan pusat data (DC) serta pemulihan semula sektor pelancongan sepanjang 2026.

 

image is not available
ABHILASH NARAYAN


Bagaimanapun, beliau memberi amaran mengenai cabaran jangka pendek termasuk kenaikan harga tenaga khususnya minyak mentah dan konflik geopolitik global masih memberi tekanan kepada ekonomi.


"HSBC menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75% sepanjang 2026, kecuali berlaku lonjakan berterusan dalam harga minyak global," tambahnya.


Ringgit pula kata Narayan, dijangka antara mata wang Asia yang kukuh pada tahun ini, namun momentum kenaikan diramal perlahan dengan unjuran RM3.85 berbanding AS$1 menjelang hujung tahun.


Walaupun prospek ekonomi negara ini dilihat memberangsangkan, HSBC jelas beliau, mengambil pendirian neutral terhadap pasaran ekuiti Malaysia dalam tempoh enam bulan yang akan datang.


Keadaan tersebut tambahnya, berikutan faktor kekurangan pendedahan kepada sektor pertumbuhan bernilai tinggi seperti teknologi semikonduktor dan DC dalam indeks tempatan Bursa Malaysia.


"Pertumbuhan pendapatan korporat sekitar 9% pada 2026 namun dijangka terus menyokong pasaran, dan kami berpandangan strategi pelaburan 2Q26 perlu beralih daripada pendekatan agresif," katanya.


Para pelabur perlu meneroka peluang kepada pembinaan daya tahan jangka panjang, selari dengan landskap global yang semakin kompleks dan tidak menentu. - DagangNews.com

Terkini standard