Tekanan inflasi, kelembapan ekonomi global tidak jejas pertumbuhan positif DXN Holdings - RHB Investment

Business & Finance
31 Jul 2023 • 4:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tekanan inflasi, kelembapan ekonomi global tidak jejas pertumbuhan positif DXN Holdings - RHB Investment

azan

31/07/2023 - 16:58

KUALA LUMPUR 31 Julai - Tekanan inflasi dan kelembapan ekonomi global dijangka tidak menjejaskan DXN Holdings Berhad untuk terus mencatatkan pertumbuhan positif.

RHB Investment berkata, ia disokong oleh pertumbuhan dalam pengkalan pengedar kerana kumpulan itu terus mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran utama sedia ada dan pada masa yang sama memasuki pasaran baharu yang berpotensi tinggi.

"Di samping itu, penyiapan fasa terbaharu pengembangan huluan memberi petanda baik kepada kumpulan untuk meraih permintaan yang semakin meningkat dan memperkenalkan produk yang lebih inovatif untuk menarik jualan yang lebih tinggi.

"Selain itu, kami juga melihat kumpulan itu tidak begitu terjejas oleh sebarang kenaikan kos kerana kemudahan pengeluaran bersepadu dalaman yang menyumbang lebih 90% daripada hasil kumpulan dan menguasai margin untung kasar (GPM) yang lebih tinggi sebanyak lebih 80%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Terdahulu, suku pertama berakhir 31 Mei 2023 (1QFY24), untung bersih DXN meningkat sedikit kepada RM77.6 juta daripada RM77.2 juta, didorong oleh peningkatan 17% dalam hasil kepada RM423.98 juta berbanding RM360.39 juta.

Firma itu berkata, keputusan 1QFY24 kumpulan itu mencapai unjuran disokong oleh daya tarikan positif dalam pasaran utama lebih daripada mengimbangi kesan kadar cukai berkesan yang lebih tinggi.

Firma itu itu berkata, margin keuntungan yang lebih tinggi dan pulangan ke atas ekuiti adalah bukti kukuh kepada asas-asasnya yang kukuh dan model perniagaan yang direka dengan baik.

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 93 sen sesaham.

Kumpulan itu kembali disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Mei 2023.- DagangNews.com