Tekanan Iran Buahkan Hasil, AS Setuju Gencatan Senjata; Selat Hormuz Dibuka Sementara

WorldPolitics
8 Apr 2026 • 10:46 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai persetujuan gencatan senjata selama dua minggu pada saat akhir, kira-kira sejam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan Presiden AS, Donald Trump.

Menurut laporan AFP, persetujuan itu dicapai selepas Iran bersetuju membuka semula Selat Hormuz secara sementara bagi memastikan laluan kapal berjalan dengan selamat.

Langkah tersebut diambil selepas lebih sebulan serangan intensif dilancarkan oleh AS dan Israel terhadap Iran.

Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump memaklumkan bahawa beliau menangguhkan serangan yang dirancang terhadap Iran susulan perbincangan bersama pemimpin Pakistan yang meminta agar tindakan itu ditangguhkan.

“Tertakluk kepada Republik Islam Iran untuk bersetuju membuka Selat Hormuz sepenuhnya, serta-merta dan selamat, saya bersetuju untuk menghentikan pengeboman dan serangan terhadap Iran selama dua minggu,” katanya.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengesahkan bahawa laluan selamat melalui Selat Hormuz akan dibenarkan sepanjang tempoh tersebut.

“Jika serangan terhadap Iran dihentikan, angkatan tentera kami akan menghentikan operasi pertahanan mereka,” katanya.

Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia. Iran sebelum ini menutup laluan itu sebagai tindak balas terhadap konflik yang tercetus pada 28 Februari lalu.

Rundingan Damai Tunjuk Perkembangan Positif

Trump turut memaklumkan bahawa rundingan damai jangka panjang antara AS dan Iran menunjukkan perkembangan positif, termasuk cadangan pelan 10 perkara yang dikemukakan Tehran sebagai asas rundingan.

Bagaimanapun, Iran dilihat mengambil pendirian tegas dengan menuntut penarikan sekatan ekonomi, jaminan penguasaan ke atas Selat Hormuz serta pengunduran tentera AS dari rantau Asia Barat.

Pengumuman gencatan senjata itu turut memberi kesan kepada pasaran global apabila harga minyak dilaporkan jatuh mendadak.

Sebelum ini, Trump menetapkan tarikh akhir kepada Iran untuk membuka Selat Hormuz menjelang jam 8 malam waktu Washington (3.30 pagi waktu Tehran).

Setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada Israel berhubung persetujuan tersebut, meskipun negara itu sebelum ini menyokong tindakan ketenteraan AS terhadap Iran.

Sementara itu, Pakistan dilaporkan memainkan peranan penting sebagai orang tengah dalam usaha mencapai persetujuan berkenaan.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, berkata usaha diplomatik bagi meredakan konflik di Timur Tengah kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Dalam perkembangan sama, beberapa serangan masih dilaporkan berlaku sebelum tarikh akhir berkenaan, termasuk ke atas jambatan dan landasan kereta api di Iran yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua individu.

Situasi itu sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Iran ketika ketegangan masih belum reda sepenuhnya. – The Malaysian Update

The post Tekanan Iran Buahkan Hasil, AS Setuju Gencatan Senjata; Selat Hormuz Dibuka Sementara appeared first on The Malaysian Update.