Tekanan kerja, buli antara kemungkinan punca kematian doktor pelatih

LocalHealth & Fitness
9 Mar 2026 • 2:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian berhubung doktor pelatih ditemui maut di asrama hospital

SHAH ALAM – Tekanan kerja atau faktor buli dipercayai antara penyebab kematian seorang doktor pelatih yang ditemui di asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Jumaat lalu.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK) berkata, kejadian itu amat menyedihkan dan pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga serta rakan mangsa.

“Sebarang kemungkinan boleh menjadi penyebab kejadian dan kami ingin mendesak penubuhan satu suruhanjaya bebas untuk menyiasat insiden ini secara holistik dan terperinci.

“Faktor buli atau tekanan kerja mungkin salah satu penyebab, namun agak awal untuk membuat kesimpulan sebelum siasatan dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui cabaran dan tekanan yang dihadapi doktor pelatih di hospital kerajaan ketika ini agak membimbangkan.

Menurutnya, sekiranya isu berkenaan tidak dibendung, dikhuatiri lebih banyak insiden tidak diingini akan berlaku.

“Sehubungan itu, setiap hospital perlu mempunyai satu unit sokongan yang terdiri daripada kaunselor dan petugas kesihatan lain yang boleh menjadi kumpulan sokongan kepada mereka yang tertekan.

“Pada masa sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan tidak menganggap mereka yang mengalami tekanan sebagai lemah dan tidak bersikap prejudis terhadap mereka.

“Doktor pelatih yang berdepan isu seperti buli atau tekanan juga boleh mendapatkan bantuan melalui beberapa saluran termasuk HelpDoc oleh Malaysian Medical Association, sistem SISPAA di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia atau menghubungi Hartal Doktor Kontrak bagi mendapatkan pandangan serta bantuan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa berusia 29 tahun ditemui meninggal dunia di bilik air dan hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.

Punca kematian dipercayai disebabkan tekanan pada leher dan kes disiasat sebagai laporan mati mengejut.