amree22/06/2026 - 16:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Jun — Tekanan kos operasi yang berterusan serta kemerosotan ketara keuntungan suku kedua mendorong RHB Research menilai semula penarafan ke atas prospek Mynews Holdings Berhad.
Firma tersebut menurunkan saranannya terhadap saham kumpulan ini kepada 'neutral' daripada 'beli', dengan harga sasaran (TP) turut disemak turun kepada hanya 50 sen berbanding 70 sen sebelum ini.
Ujarnya, keputusan separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26) kumpulan berada di bawah jangkaan berikutan operasi yang lebih lemah, dipercayai berpunca daripada peningkatan kos secara berulang.
"Untung Mynews bagi 2QFY26 susut kepada RM100,000, merosot 97.3% tahun ke tahun (YoY) dan 98.4% suku ke suku (QoQ), menjadikan keuntungan teras 1HFY26 sebanyak RM4.1 juta," kata RHB Research.
Jumlah itu hanya memenuhi 17% daripada unjuran RHB Research dan walaupun sahamnya kini didagangkan pada penilaian lebih rendah, tekanan kos operasi dijangkakan terus kekal dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun firma itu lebih cenderung menunggu bukti lebih jelas mengenai keberkesanan inisiatif pengurusan kos dan pemulihan margin sebelum kembali bersikap lebih positif terhadap saham ini.
Menurut RHB Research, pendapatan Mynews bagi tempoh 1HFY26 meningkat 11% kepada RM464.4 juta disokong oleh pertambahan jumlah kedai kepada 704 cawangan berbanding 639 cawangan setahun lalu.
Artikel berkaitan: Untung suku kedua Mynews menjunam 97%, tetap umum dividen 1 sen

"Margin keuntungan kasar (GPM) turut mengecil kepada sebanyak 37.5% berbanding 38.4% sebelum ini, disebabkan perubahan campuran produk serta promosi lebih agresif di peringkat kedai," jelasnya.
Selain itu tambah firma berkenaan, perbelanjaan pentadbiran dan jualan serta pengedaran namun terus meningkat kepada 25.3% daripada hasil, berbanding hanya 24.6% dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Peningkatan kos pekerja susulan pengambilan tenaga mahir dalam bidang automasi proses, kecerdasan buatan (AI) serta fungsi komersial dan operasi turut memberi tekanan kepada keuntungan syarikat.
Pada masa sama ujar RHB Research, hapus kira stok pembaziran Mynews naik 33.7% kepada RM14.1 juta atau 3% daripada hasil, sebahagian besarnya disebabkan pendedahan tinggi produk makanan segar.
"Bagi 2HFY26, kami menjangka prestasi hasil bertambah baik daripada asas rendah pada 1HFY26, namun pemulihan hanya berlaku secara beransur-ansur berikutan struktur kos yang lebih tinggi," tambahnya.
Di samping itu, firma penyelidikan berkenaan turut menyemak turun unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 41%, 31% dan 23% bagi mencerminkan kos operasi yang lebih rendah.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan risiko utama Mynews termasuk kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan serta kadar pengembangan perniagaan perlahan. - DagangNews.com






