Tekanan terhadap pengamal media tidak wajar berlaku

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 8:41 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Wartawan tidak boleh dilihat sebagai ancaman, sebaliknya rakan strategik dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti terus terpelihara.

ISU wartawan didakwa diarah memadam gambar dan video oleh pihak polis ketika membuat liputan insiden rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras baru-baru ini sekali lagi membuka perbincangan penting mengenai kebebasan media di negara ini.

Kenyataan tegas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bahawa wartawan perlu diberi ruang menjalankan tugas selagi mematuhi undang-undang, memperlihatkan pendirian jelas kerajaan dalam mempertahankan prinsip keterbukaan dan saling hormat-menghormati antara media dan pihak berkuasa.

Dalam konteks ini, wartawan berperanan sebagai pemerhati dan penyampai maklumat kepada masyarakat.

Tugas mereka bukan sekadar melaporkan, tetapi juga mengemukakan soalan bagi mendapatkan penjelasan yang telus berhubung sesuatu isu.

Justeru, tindakan mengarah atau mungkin mengugut wartawan tidak sepatutnya berlaku kerana kelompok ini sudah pasti memperkenalkan diri sebagai pengamal media setiap kali turun ke lapangan.

Sekiranya budaya menekan wartawan terus-menerus terjadi, ia berpotensi menjejaskan integriti sistem demokrasi yang bergantung kepada aliran maklumat bebas dan bertanggungjawab.

Wartawan tidak boleh dilihat sebagai ancaman, sebaliknya rakan strategik dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti terus terpelihara.

Sehubungan itu, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada insiden baru-baru ini dengan memperkukuh etika komunikasi serta menghormati peranan masing-masing.

Wartawan mesti terus berpegang kepada prinsip profesionalisme, manakala pihak berkepentingan perlu mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengekang kebebasan media.