
Dalam memastikan para pelajar sentiasa kelihatan kemas dan rapi, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Jerlun, Kedah menganjurkan Bengkel Mengikat Tali Leher peringkat sekolah, baru-baru ini.
Bengkel anjuran Sektor Disiplin Pengawas, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), SMKA Jerlun itu bertujuan memberi tunjuk ajar kepada pengawas dan pelajar mengenai cara mengikat tali leher dengan betul dan kemas.
Guru Penasihat MPP SMKA Jerlun, Cikgu Muhammad Ali Zulkifli berkata, program tersebut adalah salah satu program ‘low cost, high impact’ yang sangat penting untuk para pelajar.

Ini kerana katanya, pelajar-pelajar yang berpakaian kemas dan betul akan membentuk jati diri masing-masing.
Cikgu Ali berkata, mengikat tali leher bukanlah semudah yang disangkakan. Ada beberapa cara yang perlu dilakukan pelajar ketika mereka mahu mengikat tali leher tersebut.
“Ketika aktiviti berlangsung terdapat pelbagai soalan yang dikemukakan pelajar mengenai cara mengikat atau memakai tali leher.
“Tidak kurang juga ada yang bertanyakan jenis ikatan tali leher lain yang boleh dijadikan rujukan apabila mereka berada di alam pekerjaan kelak.
“Soalan demi soalan dan keterujaan ditunjukkan para pelajar yang terdiri daripada Tingkatan Satu hingga Tiga ini jelas menunjukkan bengkel kali ini mendapat sambutan cukup baik dalam kalangan mereka,” katanya selaku tenaga pengajar bengkel dengan dibantu barisan pelajar MPP sekolah berkenaan.
Sementara itu, Pengetua Cemerlang sekolah berkenaan, Ustaz Zaini Hasbollah memuji bengkel itu yang dilihat sebagai penganjuran yang sangat cemerlang dan memberi manfaat kepada pelajar.
“Satu bengkel yang sangat bagus. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu SMKA Jerlun untuk terus berkembang dan mencapai visi dan misi sekolah,” ujarnya.

Ketua Sektor Disiplin, MPP SMKA Jerlun, Muhammad Furqan Mohd Khairul Nuzul juga tidak terkecuali memberi pandangan mengenai bengkel itu.
“Penganjuran bengkel ini telah menjadi medium kepada pelajar dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain,” katanya.

Artikel berkaitan
The post Teknik ikatan tali leher cara mudah, Cikgu Ali kongsi menerusi bengkel peringkat sekolah appeared first on Sinar Bestari.

