Teknologi AI punca keluarga terasing

TechnologyOpinion
29 Jul 2026 • 11:22 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Teknologi AI punca keluarga terasing

Oleh Prof Dr. Fatimah Yusooff

Kita sedang hidup dalam satu zaman yang sangat berbeza berbanding dahulu. Dunia berubah terlalu pantas. Teknologi berkembang dengan begitu luar biasa sehingga hampir setiap aspek kehidupan manusia hari ini dipengaruhi oleh kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

Apa yang dahulu dianggap mustahil, kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat.

Jika dahulu manusia keluar rumah tanpa memikirkan Internet, hari ini perkara pertama yang ditanya apabila masuk ke sesuatu tempat: ‘Ada Wi-Fi tak?’ atau ‘Internet laju tak kat sini?’

Perkara ini kelihatan kecil, namun sebenarnya menggambarkan bagaimana kehidupan manusia moden sangat bergantung kepada teknologi digital.

Internet kini bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan. Dari kanak-kanak sehingga warga emas, semuanya hidup bersama teknologi.

Dengan kadar penggunaan Internet di Malaysia yang melebihi 90 peratus, kita sedang melihat perubahan besar terhadap cara manusia berfikir, berhubung dan membina hubungan dalam keluarga.

Namun, di sebalik kemudahan yang dibawa oleh teknologi, saya juga melihat semakin banyak cabaran muncul dalam institusi keluarga.

Sepanjang pengalaman saya menjalankan sesi kaunseling keluarga sejak dahulu sehingga hari ini, semakin banyak isu yang timbul sebenarnya berkait rapat dengan perkembangan teknologi dan AI.

Teknologi memang membantu manusia menjadi lebih cepat dan cekap, tetapi dalam masa sama, perlahan-lahan menghakis hubungan emosi dalam keluarga.

Kita semakin mudah berhubung melalui skrin tetapi semakin sukar memahami hati manusia di hadapan kita sendiri.

Hari ini muncul satu fenomena yang saya lihat sangat membimbangkan iaitu ‘alone together’. Ahli keluarga tinggal di bawah satu bumbung, tetapi terasing secara emosi kerana masing-masing tenggelam dalam peranti sendiri. Semua berada dalam rumah yang sama, namun jiwa mereka berjauhan.

Kita boleh lihat sendiri situasi ini berlaku di kebanyakan rumah. Ketika makan bersama keluarga, suasana tidak lagi seperti dahulu. Jika dulu, meja makan menjadi tempat berkongsi cerita dan berinteraksi secara langsung, kini ramai hanya diam sambil melihat telefon masing-masing.

Kadangkala, seluruh keluarga duduk bersama, tetapi tiada komunikasi sebenar berlaku.

Saya masih ingat beberapa klien yang datang bertemu, pernah meluahkan perasaan seperti: ‘Saya rasa sunyi dalam rumah sendiri’ dan ‘Saya rasa terasing walaupun ada keluarga.

Pernah juga seorang wanita berkata kepada saya: ‘Saya dah kahwin 10 tahun, tapi saya rasa sangat lonely dalam rumah.’

Apabila saya bertanya sama ada dia sering bercakap dengan suaminya, beliau menjawab: ‘Hari-hari bercakap, tapi melalui telefon.’

Jawapan itu sangat memberi kesan kepada saya. Ia menunjukkan bahawa komunikasi digital tidak mampu menggantikan hubungan emosi sebenar.

Kita mungkin bercakap setiap hari melalui WhatsApp atau media sosial, tetapi hubungan jiwa tidak berlaku sepenuhnya.

Kadangkala, manusia terlupa bahawa terapi paling besar dalam keluarga adalah kehadiran fizikal, sentuhan emosi dan komunikasi secara bersemuka.

Apabila pasangan duduk berbual secara terus, memandang wajah satu sama lain dan mendengar dengan hati, di situlah sebenarnya proses penyembuhan berlaku.

Image from: Teknologi AI punca keluarga terasing
SEMAKIN banyak isu timbul dalam keluarga pada hari ini disebabkan perkembangan AI.
– Gambar hiasan

Sebagai kaunselor keluarga, saya melihat kemunculan risiko baharu dalam kehidupan moden seperti ketagihan skrin, buli siber, pengasingan emosi dan penghakisan masa berkualiti bersama keluarga.

Semua ini memerlukan perhatian serius daripada masyarakat dan bidang kaunseling. Saya tidak menolak manfaat AI.

Malah, saya sendiri melihat AI mempunyai banyak potensi besar dalam membantu kehidupan manusia.

Dalam bidang kaunseling, AI boleh membantu dari sudut pentadbiran, pengurusan data dan akses maklumat lebih cepat. Teknologi juga membolehkan perkhidmatan kaunseling sampai ke kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak.

Jika seseorang mengalami tekanan atau masalah keluarga, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan awal melalui platform digital dengan lebih mudah dan pantas.

Namun begitu, saya sentiasa menegaskan bahawa AI hanyalah alat bantu, bukan pengganti manusia.

AI mungkin sangat pintar, tetapi tidak mempunyai jiwa. AI tidak mampu merasai kesedihan manusia. Ia tidak memiliki empati, intuisi klinikal dan kehangatan hubungan manusia yang menjadi asas penting dalam proses penyembuhan emosi.

Sebagai contoh, jika seseorang menaip soalan kepada AI seperti: ‘Saya nak minta cerai, apa perlu saya buat?’

Teknologi mungkin memberikan jawapan teknikal dan prosedur yang cepat. Tetapi seorang kaunselor manusia akan melihat jauh lebih mendalam daripada itu.

Saya akan bertanya tentang keadaan anak-anak, hubungan pasangan, faktor emosi, aspek agama, keselamatan keluarga dan kemungkinan pemulihan rumah tangga tersebut.

Semua ini memerlukan pertimbangan kemanusiaan yang tidak boleh dilakukan oleh algoritma semata-mata.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, kita tidak boleh memisahkan kaunseling keluarga daripada budaya dan kerohanian.

Masyarakat kita mempunyai budaya menghormati orang tua, menjaga adab dan mengelakkan konflik secara terbuka.

Kadangkala, seseorang tidak meluahkan kemarahan secara langsung, tetapi emosi itu tetap wujud dan perlu difahami dengan penuh hikmah.

Sebab itu saya sangat menekankan pendekatan Human in The Loop (HITL) dalam penggunaan AI bagi kaunseling keluarga. Teknologi boleh digunakan untuk membantu meningkatkan kecekapan kerja, namun keputusan klinikal, intervensi emosi dan pertimbangan etika mestilah berada di tangan manusia.

Elemen seperti empati, sentuhan emosi dan keselamatan psikologi tidak boleh direplikasi oleh mesin, walau secanggih mana sekalipun teknologi itu berkembang.

Kaunselor masa depan juga perlu mempunyai kompetensi baharu dalam memahami media sosial, aplikasi AI dan etika digital.

Kita perlu memahami bagaimana teknologi mempengaruhi emosi manusia, hubungan kekeluargaan dan cara generasi hari ini membina identiti mereka.

Namun, dalam kita mengejar kecanggihan teknologi, saya percaya satu perkara yang paling penting adalah memastikan manusia tidak kehilangan nilai kemanusiaannya.

Teknologi boleh menjadi semakin pintar, tetapi hati manusia mesti terus dipelihara. Jangan sampai rumah menjadi sekadar tempat tinggal jasad, namun kehilangan kasih sayang.

The post Teknologi AI punca keluarga terasing appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved