Teknologi ANPR diperluas mulai Ogos

LocalTechnology
12 Mar 2026 • 3:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sistem ANPR dijangka diperluaskan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Ogos ini.
image is not available
Sistem pembayaran tol terbuka menggunakan teknologi ANPR di Plaza Tol Sungai Dua.
image is not available
Sistem ANPR kini dilaksanakan PLUS di kawasan utara membabitkan sembilan tol jajaran Hutan Kampung ke Sungai Dua pada Januari lalu.

PETALING JAYA - Sistem pembayaran tol terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) dijangka diperluaskan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Ogos ini.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, setakat ini lebih 200,000 pengguna sudah memuat turun aplikasi baharu JustGO Malaysia untuk sistem pembayaran tol terbuka tersebut.

"Melalui sistem tersebut, pengguna lebuh raya boleh menggunakan mana-mana lorong di plaza tol sekiranya kenderaan mereka telah didaftarkan dengan aplikasi tersebut," katanya.

Nik Airina berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat mengenai persiapan PLUS menghadapi peningkatan trafik sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri di Persada PLUS di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir Nadzrol Fadzilah Ahmad dan Timbalan Pengarah Dasar, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, Norazlan Ibrahim.

Nik Airina berkata, pengguna yang tidak mendaftar dengan sistem berkenaan masih perlu menggunakan lorong yang dikhaskan mengikut kaedah pembayaran masing-masing sama ada Touch ‘n Go atau SmartTAG.

**media[3461249]**

"Projek rintis ANPR kini dilaksanakan PLUS di kawasan utara membabitkan sembilan tol jajaran Hutan Kampung ke Sungai Dua pada Januari lalu.

"Nombor plat kenderaan akan dikesan secara automatik apabila melalui lorong tol dan caj diproses serta dipautkan terus kepada kaedah pembayaran pengguna melalui aplikasi mudah alih berkenaan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian setakat ini, sistem tersebut dilihat membantu mempercepatkan pergerakan kenderaan di sembilan plaza tol di sepanjang laluan berkenaan.

"Pengguna juga tidak perlu berhenti kerana sistem berkenaan akan mengesan kenderaan yang telah didaftarkan sekali gus membolehkan mereka melalui plaza tol dengan lebih lancar," ujarnya.

Terdahulu media melaporkan, pengguna boleh menikmati pengalaman pemanduan yang lebih lancar apabila PLUS memperkenalkan projek rintis Sistem Pembayaran Tol Terbuka berasaskan ANPR.

**media[3461250]**

Sistem berkenaan disokong oleh kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan serta sudut pandangan yang berbeza.

Bagi menggunakan kemudahan itu, orang ramai hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO Malaysia dan menghubungkan kaedah pembayaran pilihan seperti kad debit atau kredit tanpa sebarang kos pendahuluan kepada pengguna.

Pembayaran secara e-dompet akan diperluaskan secara berperingkat.

Aplikasi mudah alih itu dibangunkan sebagai platform pembayaran digital terbuka yang dirancang untuk dimiliki bersama industri lebuh raya selaras aspirasi kerajaan menyediakan kaedah lebih fleksibel.

Kaunter pengaktifan JustGO disediakan di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Kedah termasuk kawasan rehat dan rawat (R&R) Gurun serta Hentian Sebelah Juru bagi membantu pengguna mendaftar atau mendapatkan maklumat lanjut.