
KUALA LUMPUR: Industri pembinaan perlu mempercepat penggunaan teknologi bagi menggantikan kebergantungan terhadap kira-kira 600,000 pekerja asing dalam sektor berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Sr. Ahmad Farrin Mokhtar berkata, sasaran mengurangkan pekerja asing sebanyak 10 peratus setahun bermakna kira-kira 60,000 pekerja perlu dikurangkan daripada sektor pembinaan setiap tahun.
“Persoalannya, bagaimana kita mengurangkan 60,000 pekerja setiap tahun? Kita tidak boleh hanya mengurangkannya tanpa meningkatkan produktiviti.
“Ia perlu dilakukan melalui teknologi. Itulah hala tuju yang perlu diambil oleh industri pembinaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi penerangan mengenai penganjuran Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Menurut beliau, perkembangan teknologi perlu bergerak seiring dengan usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan sektor pembinaan terhadap tenaga kerja asing.
Jelasnya, penerapan teknologi digital, automasi dan robotik perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi memastikan sektor pembinaan kekal produktif serta berdaya saing.
“Dalam era digitalisasi, mesin bukan sekadar mengambil alih pekerjaan. Ia menggabungkan cara kita bekerja, meningkatkan produktiviti dan menjadikan kita lebih efisien.
“Transformasi teknologi dalam sektor pembinaan turut memerlukan perubahan perspektif dalam kalangan pemain industri terhadap penggunaan mesin dan robot,” katanya.
Menurut Ahmad Farrin, teknologi tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai kaedah menggantikan tenaga manusia, sebaliknya sebagai alat untuk menggabungkan keupayaan pekerja dengan kecanggihan mesin.
Katanya, pendekatan itu membolehkan tugasan dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat dan cekap, sekali gus membantu industri meningkatkan produktiviti ketika berdepan keperluan mengurangkan penggunaan tenaga kerja asing.
Jelasnya, penerapan teknologi secara lebih meluas juga mampu mewujudkan sektor pembinaan yang lebih moden, efisien dan berdaya saing dalam jangka panjang.
Dalam pada itu, ICW 2026 dijadual berlangsung dari 10 hingga 12 November di MITEC.
Katanya, penganjuran ICW 2026 akan memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi serta kaedah baharu yang boleh membantu mempercepatkan transformasi industri pembinaan.
Beliau berkata, antara perkara yang akan diketengahkan termasuk teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), pemodelan maklumat bangunan (BIM) robotik serta kaedah pembinaan baharu.
Katanya, penerangan mengenai teknologi kepada pemain industri penting bagi memastikan inovasi yang tersedia dapat diterima dan digunakan secara meluas.
“Cara ke hadapan adalah digitalisasi. Kita perlu menerangkan teknologi kepada pemain industri.
“Kita akan menjelaskan teknologi baharu, cara kerja baharu dan kaedah pembinaan baharu yang boleh membantu industri,” katanya. – UTUSAN
The post Teknologi bantu kurangkan kebergantungan 600,000 pekerja asing dalam pembinaan appeared first on Utusan Malaysia.




