Teknologi digital mampu tingkatkan produktiviti Asia: IMF

TechnologyBusiness & Finance
10 Jan 2023 • 5:46 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

WASHINGTON: Teknologi digital dijangka mampu membantu meningkatkan pertumbuhan produktiviti di negara Asia susulan krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19, lapor Sputnik memetik Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam blognya pada Isnin.

“Kesan ekonomi akibat wabak dan pertumbuhan produktiviti yang lemah mempengaruhi prospek pertumbuhan jangka panjang rantau ini. Tetapi di sebalik cabaran ini, kami menyaksikan laluan yang menjanjikan demi meningkatkan produktiviti di Asia melalui landskap kepimpinan: pendigitalan,“ menurut blog itu.

IMF menegaskan bahawa teknologi digital mampu meningkatkan kecekapan sektor awam dan swasta dalam mengembangkan kewangan dan meningkatkan akses kepada pendidikan, serta menyediakan peluang untuk membuka pasaran baharu dan syarikat boleh memberi perkhidmatan kepada pelanggan secara jarak jauh.

“Semasa pandemik, pendigitalan meningkatkan peruntukan sumber berharga untuk faedah kesihatan dan sosial, membolehkan pemberian bantuan segera sambil mengawal perbelanjaan awam,“ menurut blog itu.

IMF menekankan bahawa sebahagian besar inovasi berlaku dalam pelbagai sektor ekonomi Asia, daripada automasi pembuatan kepada platform e-dagang.

“Rantau ini menyumbang 60 peratus daripada paten dalam teknologi digital dan komputer sejurus sebelum wabak, meningkat daripada 40 peratus dua dekad sebelumnya.

Bagaimanapun, IMF memaklumkan bahawa pembaharuan dalam menyokong inovasi dan pendigitalan adalah perlu dan menggesa kerajaan meningkatkan infrastruktur digital bagi meningkatkan akses kepada maklumat dan teknologi serta menyediakan platform celik digital untuk memenuhi permintaan majikan.

IMF juga menyeru kerajaan untuk memudahkan penggunaan teknologi baharu dengan memperkemas peraturan sejajar dengan industri digital yang berkembang.

“Asia bersedia untuk terus menerajui inovasi digital. Memudahkan akses sama rata kepada pekerja, industri dan teknologi merentas firma akan membantu rantau ini mendapat manfaat sepenuhnya daripada rangsangan ekonomi yang ditawarkan oleh pendigitalan,“ menurut blog itu.-Bernama