Setiap kenderaan tak kira EV atau ICE memerlukan bateri kering 12V untuk beroperasi sejak lebih 70 tahun yang lalu. Ia perlu ditukar setiap 3-4 tahun untuk memastikan kenderaan boleh dihidupkan. Pada EV jika bateri 12V ini mati, kenderaan langsung tidak boleh bergerak, sistem brek dikunci dan pintu tidak boleh dibuka yang amatlah menyusahkan lebih-lebih lagi jika pek bateri utama masih mempunyai caj.

Minggu lalu, Leapmotor memperlihatkan teknologi Cell-to-Chassis (CTC) 3.0 High-Low Fusion Battery yang membolehkan kenderaan yang menggunakannya tidak lagi memerlukan bateri 12V. Sistem baharu ini meningkatkan sistem voltan rendah EV sehingga tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding sistem generasi sebelumnya.
Pek bateri kenderaan kini boleh digunakan untuk menguasakan sistem yang selama ini bergantung kepada sel bateri 12V seperti motor menghidupkan kenderaan, pengelap cermin, pendingin hawa, lampu, sistem penggera dan beg udara.
Menerusi CTC 3.0 pemilik kenderaan tidak lagi perlu membeli bateri 12V setiap 3-4 tahun sekaligus mengurangkan kerisauan tersadai di tepi jalan EV tidak boleh dihidupkan. Ia juga mengurangkan pencemaran daripada bateri plumbum asid terpakai dengan dianggarkan 300 juta bateri dibuang setiap tahun.

