Teknologi mudahkan renjer rekod jejak haiwan

TechnologyEnvironment
8 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Teknologi mudahkan renjer rekod jejak haiwan

PENDEKATAN mencatat maklumat secara manual menggunakan borang bagi aktiviti pemantauan dan penyelidikan hidupan liar sudah dianggap tidak relevan ketika ini.

Dalam dunia yang bergerak pantas, peralihan daripada penggunaan kertas dan pen kepada teknologi digital dapat membantu meningkatkan produktiviti serta melancarkan pengurusan harian.

Tidak hanya bersifat kosmetik, keperluan strategik yang menawarkan sistem penyimpanan data lebih sistematik, selamat dan mudah dicapai mampu mengurangkan lambakan kertas, sekali gus menjadikan kerja lebih efisien.

Begitu juga tugas meronda kawasan hutan yang bukan sekadar memerlukan ketahanan fizikal, malah menuntut keupayaan renjer merekod dan menyalurkan data dengan tepat bagi membantu usaha pemantauan serta pemulihan hidupan liar.

Menyedari kepentingan itu, penggunaan aplikasi SMART (Spatial Monitoring and Reporting Tool) Mobile diperluas sebagai pendekatan digital bagi memudahkan kerja renjer di lapangan.

Penganalisis Data Perbadanan Taman Negeri Perak, Muhammad Syimir Nurazim Azhar memberitahu, aplikasi yang dimuat turun dan dipasang ke dalam telefon khas (rugged phone) itu memudahkan data hidupan liar direkod secara digital.

Data yang dikumpul dalam aplikasi itu akan dikumpul dan disambungkan ke Sistem SMART Desktop atau pangkalan pusat iaitu perisian komputer untuk analisis pemetaan (GIS) serta pelaporan.

Image from: Teknologi mudahkan renjer rekod jejak haiwan
Para peserta Program Memperkasa Renjer Melalui Teknologi dan Inovasi Konservasi mendengar taklimat mengenai teknologi SMART Mobile
di Belum Rainforest Resort, Perak baru-baru ini.

Sebelum ini, peronda perlu membawa sekurang-kurangnya tiga peralatan utama iaitu sistem kedudukan global (GPS), kamera dan borang SMART yang perlu diisi secara manual ketika berada di dalam hutan.

“Menerusi SMART Mobile, ketiga-tiga fungsi berkenaan dapat dihimpunkan dalam satu peranti, sekali gus mengurangkan beban peralatan yang perlu dibawa ketika menjalankan rondaan di kawasan Taman Negeri Perak.

“Data yang dikumpulkan menerusi SMART Mobile juga boleh dipindahkan ke sistem SMART Patrol (pangkalan data laluan dan kawasan rondaan) selepas pasukan kembali ke pangkalan,” katanya.

Muhammad Syimir ditemui ketika Program Memperkasa Renjer Melalui Teknologi dan Inovasi Konservasi: Program Perkongsian Pengetahuan Sempena Hari Renjer Sedunia 2026 di Belum Rainforest Resort, Perak baru-baru ini.

Menurutnya, sistem itu turut membolehkan setiap penemuan direkodkan bersama lokasi dan gambar termasuk mengesan tapak kaki haiwan seperti harimau atau hidupan liar lain.

“Jika menemui kesan tapak kaki haiwan, peronda boleh menandakan penemuan berkenaan dalam aplikasi, sebelum mengambil gambar menggunakan telefon sama.

“SMART Mobile juga memiliki keupayaan menyimpan data pemerhatian secara berterusan bagi membolehkan pasukan melihat corak pergerakan hidupan liar berdasarkan rekod yang dikumpulkan dari semasa ke semasa.

“Data berkaitan kesan kemunculan haiwan yang dikumpulkan ketika rondaan dapat membantu pasukan melihat kawasan yang sering dilalui haiwan berkenaan.

“Kita boleh simpan data untuk tempoh yang lama dan memantau pergerakan haiwan terutama harimau.

“Walaupun diancam kepupusan tetapi kita masih dapat melihat kesan kehadiran harimau,” katanya.

Data kesan haiwan juga berpotensi membantu renjer memahami hubungan antara pergerakan pemangsa dan mangsanya.

Sebagai contoh, kesan tapak rusa yang masih baharu diikuti kesan tapak harimau boleh memberikan gambaran mengenai urutan pergerakan kedua-dua haiwan di sesuatu kawasan.

Menyedari ketahanan bateri amat penting, terutama ketika mengendalikan gajet moden, Muhammad Syimir memberitahu, setiap renjer dibekalkan dengan peranti jenis rugged phone yang direka untuk keadaan lebih lasak berbanding telefon pintar biasa.

Image from: Teknologi mudahkan renjer rekod jejak haiwanImage from: Teknologi mudahkan renjer rekod jejak haiwan

Telefon tersebut mampu bertahan dalam persekitaran hutan termasuk mempunyai ketahanan sekiranya terjatuh atau terdedah kepada air, selain kapasiti bateri lebih besar.

“Kapasiti baterinya juga lebih besar dan bersesuai untuk penggunaan SMART Mobile kerana telefon ini boleh bertahan sehingga kira-kira 10 hari (pada kadar bateri dicas penuh),” katanya.

Ketahanan bateri amat penting kerana sesetengah rondaan mengambil masa sehingga berbelas hari di dalam hutan.

Selain itu, bentuk muka bumi turut memberi cabaran utama kerana aplikasi berkenaan memerlukan capaian internet untuk memasukkan data.

“Gangguan talian internet adalah salah satu kekangan tetapi jika masalah berterusan, kami akan menggunakan catatan secara manual sebagai langkah berjaga-jaga agar data tetap dapat disimpan.

“Perancangan laluan melalui peta tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar di lapangan kerana renjer mungkin berdepan cerun curam, dinding tanah tinggi atau pokok tumbang yang menghalang perjalanan.

“Jika laluan tidak selamat untuk diteruskan, renjer perlu berpatah balik selepas mengambil gambar serta merekod sebagai rujukan untuk perancangan rondaan akan datang.

“Dalam merancang rondaan, pasukan turut menggunakan pendekatan vigilance (kewaspadaan) yang mengambil kira tempoh sesuatu kawasan tidak dipantau,” ujarnya.

Kawasan yang lebih lama tidak dironda berdasarkan SMART Patrol akan diberikan perhatian bagi memastikan rondaan dapat diagihkan secara lebih sistematik.

Menariknya, kerjasama dengan komuniti Orang Asli turut diperkasakan apabila golongan itu diberi peranan sebagai renjer yang menggunakan aplikasi SMART Mobile bagi merekod maklumat sepanjang rondaan.

Image from: Teknologi mudahkan renjer rekod jejak haiwan
SMART Mobile membantu memudahkan renjer mengenal pasti laluan gajah liar di dalam hutan. – Gambar hiasan

Menurutnya, latihan secara berulang perlu dilakukan bagi memastikan setiap peronda benar-benar memahami fungsi aplikasi termasuk bengkel diadakan setiap bulan bersama ketua pasukan rondaan untuk menguji kefahaman.

“Walaupun teknologi digital diperkenalkan, borang fizikal masih digunakan sebagai sokongan bagi memastikan rekod konvensional tersedia sekiranya berlaku masalah teknikal atau capaian internet,” katanya.

Pada masa hadapan, pasukan melihat potensi untuk menaik taraf SMART Mobile menerusi sistem SMART Connect yang membolehkan data dihantar terus ke pelayan dan komputer tanpa perlu dipindahkan secara manual selepas rondaan.

Namun, pelaksanaannya memerlukan pelayan sendiri bagi memastikan data dapat disimpan dan diurus dengan lebih selamat, selain melibatkan kos yang tinggi.

Bagaimanapun, teknologi itu masih belum menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti atau mengukur kesan tapak kaki secara automatik.

Sebaliknya, renjer masih menggunakan kaedah manual dengan pembaris bagi mendapatkan ukuran tapak kaki, sebelum maklumat direkodkan dalam sistem.

Sebagai renjer Orang Asli dari Kampung Banun, Shukri Azman melihat penggunaan teknologi digital menerusi SMART Mobile banyak membantu memudahkan tugas ketika menjalankan rondaan di hutan.

Meskipun perlu mengambil masa untuk membiasakan diri dengan sistem berkenaan, Shukri tidak menafikan aplikasi itu memudahkan dan menjimatkan masa.

“Apabila sudah terbiasa, bagi saya menggunakan aplikasi ini lebih senang kerana tidak perlu membawa kertas atau mencatat apa-apa lagi sebab semuanya boleh direkod dalam aplikasi,” katanya.

Katanya lagi, proses pembelajaran menggunakan aplikasi berkenaan turut dilakukan secara berterusan bagi memastikan dia semakin mahir menggunakannya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir Renjer Hutan (Penguatkuasaan Royal Belum) Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohd. Zamrud Mohamed Aripin berkata, teknologi itu membolehkan data dikumpulkan di lapangan dipindahkan dengan lebih mudah.

“Bagi kegunaan operasi, sebanyak 12 unit peranti SMART Mobile kini dimiliki Unit Penguatkuasaan Taman Negeri Perak.

“Teknologi SMART sebenarnya sudah diperkenalkan sejak 2018, namun penggunaannya pada peringkat awal berdepan beberapa kekangan termasuk aspek konfigurasi dan kesesuaian peranti pintar ketika itu,” katanya.

Disebabkan itu, Program Memperkasa Renjer Melalui Teknologi dan Inovasi Konservasi: Program Perkongsian Pengetahuan Sempena Hari Renjer Sedunia 2026 dibuat bersama kira-kira 17 agensi pengurusan dan konservasi khazanah alam bagi meningkatkan kemahiran menggunakan aplikasi tersebut.

Menerusi program tersebut, peserta diberi pendedahan dan latihan untuk menggunakan aplikasi berkenaan secara betul. Program tersebut mendapat sokongan daripada Yayasan Sime Darby dengan Perbadanan Taman Negeri Perak dan Kementerian Kewangan.

The post Teknologi mudahkan renjer rekod jejak haiwan appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved