PELABUHAN KLANG – Seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas bot dinaiki mereka dikesan berada di luar kawasan perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran pada Rabu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin di kedudukan 15.3 batu nautika barat daya Pulau Tengah.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar berusia antara 25 hingga 46 tahun.
"Hasil semakan mendapati tekong dan seorang kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala dua lagi kru gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
"Kesemua mereka juga tidak mengemukakan permit atau surat kebenaran bekerja di atas bot berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
**media[3535123]**
Beliau berkata, hasil perkongsian maklumat daripada Sistem Pemantauan Vesel (VMS) Jabatan Perikanan Malaysia mendapati bot itu turut berada di luar kawasan perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Katanya, kesemua kru bersama bot dan hasil tangkapan ikan dianggarkan seberat 500 kilogram kemudiannya diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, termasuk menggaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta berada di luar kawasan perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran.
"Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 selepas dua kru didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.
Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan syarat lesen.
"Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di perairan Selangor bagi membanteras aktiviti perikanan haram," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 bagi tindakan segera.




