Teksi Terbang Angkut Jemaah Haji Bakal Diperkenalkan

WorldTravel
16 Jan 2024 • 1:17 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Teksi Terbang Angkut Jemaah Haji Bakal Diperkenalkan

Teksi terbang bakal diperkenalkan sebagai perkhidmatan pengangkutan yang akan menjemput bakal jemaah haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah ke hotel di Makkah, lapor Saudi Gazette.

Pengarah Komunikasi dan Korporat Kumpulan Saudia, Abdullah Al-Shahrani berkata Saudi Arabian Airlines sedang membuat persiapan untuk menggunakan teksi udara sebagai mod pengangkutan baharu semasa musim haji.

Syarikat penerbangan nasional Saudi itu bercadang untuk membeli sekitar 100 pesawat untuk dijadikan sebagai pengangkutan.

Menurutnya, Kumpulan Saudia telah membuat pembelian kira-kira 100 jet Lilium, pesawat lepas landas dan pendaratan menegak elektrik Jerman (eVTOL).

Kegunaan teksi terbang itu adalah untuk ulang-alik antara lapangan terbang di Jeddah dan lapangan terbang di hotel Makkah berhampiran Masjidil Haram dan tempat suci lain.

“Pesawat elektrik Lilium adalah salah satu pesawat pertama yang beroperasi sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik.

“Setelah menyelesaikan urusan yang diperlukan, pesawat ini akan terbang bersama tetamu Allah pada musim Haji dan Umrah dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah ke lapangan terbang di hotel berhampiran Masjidil Haram di Makkah,” katanya kepada Al-Arabiya.

Jelasnya, teksi terbang itu boleh memuatkan empat hingga enam jemaah haji.

“Pesawat Lilium dicirikan dengan kadar pelepasan karbon yang rendah dan merupakan pesawat mesra alam.

“Sekali gus menjadikannya mempunyai salah satu kemungkinan dalam mengekalkan perjalanan udara dan memendekkan masa penerbangan, kerana ia meliputi jarak maksimum 250 kilometer.

“Melalui pembelian hampir 100 pesawat, Saudi Airlines berhasrat melancarkan perkhidmatan lanjutan untuk menghubungkan beberapa destinasi perjalanan melalui pesawat elektrik canggih ini.

“Teksi terbang juga akan menjadi perkhidmatan udara antara lapangan terbang utama dari tempat Saudia beroperasi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pesawat itu juga menampilkan kabin unik yang menawarkan beberapa pilihan untuk susunan tempat duduk.

Tidak hanya itu, teksi terbang juga dicirikan dengan ruang luas yang memenuhi keperluan tetamu elit yang mencari pengalaman perjalanan terbaik.

Menurut Al-Shahrani, Saudi Airlines akan berusaha untuk menyokong Lilium dengan menyediakan semua kelulusan kawal selia yang diperlukan untuk mengendalikan pesawat jenis tersebut di pasaran Saudi.

“Ini adalah satu langkah penting dalam merangka usaha menambah baik sektor pengangkutan udara di negara ini.

“Secara tidak langsung, inisiatif ini akan menyumbang dalam merangsang kemampanan sektor pelancongan melalui penerbangan tanpa pelepasan,” tambahnya.