Pada bulan Jun tahun lalu, Trump Mobile T1 telah diumumkan sebagai telefon pintar buatan Amerika Syarikat untuk patriot sebenar. Ia diumumkan selepas Presiden Trump smengatakan akan mengenakan tarif tinggi ke atas Apple dan Samsung sekiranya tidak membina telefon di dalam negara.

Semasa diumumkan, T1 kelihatan seperti klon iPhone 16 Pro Max kerana mempunyai sistem tri-kamera di belakang. Kemudian imej pengolokan diubah lagi dengan ia kini mirip Samsung Galaxy S25 Ultra. Selepas setahun barulah peranti tiba ke tangan pembeli dengan ia sekali lagi berubah wajah.
Laman iFixit telah “membedah” Trump Mobile T1 dan mendedahkan ia sebenarnya adalah sebuah HTC U24 Pro dari tahun 2024 yang sekadar bertukar kulit. Apabila imbasan sinar-X dilakukan, komponen kedua-dua peranti adalah sama. Malahan papan induk juga mempunyai rekabentuk sama.

Yang berbeza adalah RAM dan storan berubah daripada SK Hynix dalam HTC U24 Pro kepada modul keluaran Micron pada Mobile T1. Sementara itu bateri juga sedikit lebih besar. Kerangka tubuh pula kini dilengkapi bonggol kamera yang lebih besar.
Kerana ia peranti daripada tahun 2024, spesifikasi pemproses juga sudah usang kerana sekadar sebuah Snapdragon 7 Gen 3. Ini menjadikan harga jualan Mobile T1 yang hampir $500 menjadi langsung tidak berbaloi.
Pembedahan peranti ini turut sekaligus mengesahkan tidak seperti semasa diiklankan, Mobile T1 tidak dibina di dalam Amerika Syarikat. Laman rasmi Trump Mobile kini mengatakan peranti “dipasang” di Amerika Syarikat sahaja.

