
Kemaskini pertama Telegram bagi tahun ini hadir dengan ciri ringkasan AI (AI Summaries). Melaluinya, mesej panjang dalam saluran (Channel) boleh diringkaskan secara automatik supaya pengguna lebih mudah memahami isi utama. Halaman ‘Instant View’ turut memaparkan ringkasan AI di bahagian atas agar pengguna dapat melihat inti pati kandungan dengan cepat tanpa perlu membaca keseluruhan teks.

Ringkasan ini dihasilkan menggunakan model sumber terbuka melalui rangkaian Cocoon (Confidential Compute Open Network) iaitu sistem tanpa kawalan tunggal yang direka khas untuk melindungi privasi pengguna. Menurut Telegram, setiap ringkasan akan disulitkan dengan selamat bagi melindungi data. Selain itu, Cocoon juga boleh digunakan dalam aplikasi AI lain dengan panduan lengkap yang tersedia untuk pembangun.

Kemaskini baharu turut menunjukkan Telegram untuk iOS kini menyokong sepenuhnya elemen Liquid Glass dengan kesan cahaya lebih moden. Pengguna boleh mengawal kesan ini melalui tetapan ‘Power Saving‘ untuk memastikan aplikasi kekal lancar sambil membantu menjimatkan penggunaan bateri. Semua ciri ini tersedia dalam versi terkini aplikasi.

