
Telegram memperkenalkan aplikasi natif untuk Apple Watch selepas bertahun-tahun menghentikan versi asalnya. Menurut ciapan terkini Ketua Pegawai Eksekutif Pavel Durov di X, aplikasi ini kembali dengan pengalaman penuh yang dibangunkan khusus untuk watchOS.

Aplikasi baharu ini menyokong mesej teks dan suara, GIF, video, lokasi serta pelekat di samping turut membolehkan pengguna mengakses semua perbualan dan kenalan terus dari jam tangan pintar masing-masing. Untuk log masuk, pengguna hanya perlu mengimbas kod QR melalui aplikasi Telegram di iPhone sama seperti proses log masuk di komputer atau pelayar web.

Jika akaun dilindungi dengan kata laluan tambahan, pengguna perlu memasukkan kata laluan cloud sebelum dapat mengakses senarai kenalan dan perbualan. Selepas itu, pengalaman akan menjadi lebih lancar kerana mereka boleh berkomunikasi menggunakan Telegram terus dari pergelangan tangan tanpa bergantung sepenuhnya pada iPhone.

Telegram pernah menyokong Apple Watch pada Jun 2015 namun sokongan tersebut dihentikan beberapa tahun kemudian dan aplikasi dikeluarkan daripada App Store. Kini ia kembali dengan versi lebih matang yang menawarkan pengalaman penuh untuk watchOS serta ciri baharu bagi menjadikan penggunaan lebih menyeluruh terus dari pergelangan tangan.
Sumber – Pavel Durov
