
LONDON: Satu kematian dilaporkan manakala ratusan individu jatuh sakit dalam satu wabak keracunan makanan besar-besaran atau salmonella yang berpunca daripada telur diimport.
Mengeluarkan amaran peringkat kebangsaan, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) kelmarin membayangkan bahawa mereka yang terjejas telah dijangkiti selepas makan di kafe dan restoran.
Agensi itu mengesahkan sebanyak 207 kes melibatkan umur antara satu hingga 90 tahun dikesan dalam tempoh 12 bulan lalu.
Bagaimanapun, para pakar memberi amaran bahawa jumlah tersebut hanyalah sebahagian kecil kerana terdapat banyak lagi kes yang tidak dilaporkan.
Agensi Piawaian Makanan (FSA) menyatakan bahawa siasatan telah mengenal pasti kaitan dengan telur diimport yang kebanyakannya digunakan oleh perkhidmatan makanan dan premis katering seperti restoran.
Ia menambah bahawa tiada bukti menunjukkan telur keluaran tempatan di UK terjejas.
Namun, FSA menggesa sesiapa sahaja yang mengendalikan telur, kulit telur atau pembungkusannya supaya mencuci tangan dengan bersih bagi menghentikan penularan.
Setakat ini, 199 kes telah disahkan di England, enam di Scotland, masing-masing satu di Wales dan di Ireland Utara.
Lebih satu pertiga daripada mereka yang terjejas memerlukan rawatan di hospital, manakala dua individu mengalami jangkitan aliran darah yang berpotensi mengancam nyawa, tambah UKHSA.
Bakteria salmonella biasanya dijangkiti menerusi pengambilan makanan yang tercemar seperti daging ayam, daging merah, telur, buah-buahan dan sayur-sayuran mentah dan produk tenusu tanpa pastur.
Ia lazimnya menyebabkan gejala seperti demam dan muntah yang pulih dalam tempoh beberapa hari.
Bagaimanapun, dalam kes tertentu, ia boleh membawa maut terutamanya kepada bayi, wanita hamil, warga emas dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah. – AGENSI
The post Telur diimport punca wabak keracunan makanan appeared first on Utusan Malaysia.

