Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menjelaskan rasional di sebalik keputusan kerajaan untuk menggunakan penjimatan rasionalisasi subsidi dengan menurunkan harga telur sebanyak 3 sen.
Kajian menunjukkan telur merupakan makanan yang paling banyak dimakan oleh keluarga Malaysia, terutamanya isi rumah berpendapatan rendah yang mengambil kira-kira empat biji telur sehari.
“Oleh itu, kita telah berbincang dengan syarikat-syarikat (telur) ini, bincang, berapa untung (mereka) sebulan.
“Beritahu sekian tak boleh kurang sikit untung, bukan rugi. (Minta) kurang sikit untung supaya (boleh) kurangkan beban (rakyat).
“Itulah saya umumkan semalam (kelmarin) Harga telur turun sebab telur ini paling banyak dimakan oleh rakyat-rakyat di bawah,” katanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri mengumumkan harga runcit baru untuk telur Gred A, B, dan C masing-masing berharga 42 sen, 40 sen, dan 38 sen, dengan penurunan 3 sen setiap satu. Kerajaan akan mengeluarkan subsidi sebanyak 10 sen bagi setiap telur, dengan perbelanjaan keseluruhan mencapai RM100 juta. Peruntukan subsidi telur pada tahun 2023 adalah sebanyak RM927 juta.
Namun, pengumuman harga telur oleh Anwar mendapat kritikan dari beberapa pihak, termasuk bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang mengharapkan tindakan lebih mantap untuk mengatasi peningkatan kos sara hidup.
Untuk makluman, kerajaan juga telah memulakan pelarasan subsidi bahan api mulai Jun ini, dimulai dengan diesel, dengan tujuan memberikan subsidi secara langsung kepada mereka yang memerlukan melalui pemindahan tunai atau kad fleet untuk industri.
The post ‘Telur paling banyak dimakan oleh rakyat di bawah’ – PM jelaskan rasional turunkan harga telur 3 sen appeared first on The Reporter.




